Sindiket Perdagang Ginjal Orang Miskin


POLIS India sedang menyiasat sindiket penjualan organ manusia berikutan penahanan dua lelaki termasuk seorang disyaki ketua kumpulan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai kerana memperdagangkan orang miskin untuk buah pinggang mereka.

Menurut polis, dua lelaki itu yang dikenali sebagai Nizamuddin dan Suresh Prajapati ditahan minggu lalu dan sudah didakwa atas tuduhan pemerdagangan manusia.

Prajapati yang digelar polis sebagai ‘raja ginjal’, pernah ditahan di Telangana, selatan India, tahun lalu, kerana disyaki memperdagangkan hampir 60 orang ke Sri Lanka untuk buah pinggang mereka. Dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Inspektor kanan polis, Lata Shirsath berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada imigresen di lapangan terbang yang menemui tiga pasport pada suspek.

“Satu pasport milik mangsa yang mahu dibawa ke Mesir. Siasatan menunjukkan mereka membawa enam orang ke sana antara Mei hingga Julai lalu, malah pemindahan ginjal berjaya dilakukan untuk empat kes.

“Kami turut memaklumkan kakitangan hospital terbabit di Kaherah dan meminta supaya tidak meneruskan dua lagi pembedahan pemindahan yang dijadualkan,” katanya.

Polis mengesyaki lebih ramai ejen terbabit dalam sindiket itu kerana dua suspek terbabit mencari penjual di New Delhi, Jammu, Hyderabad dan Kerala, untuk dihantar ke Kaherah menggunakan visa pelancong.

Pembeli organ juga dari India, dari kawasan berbeza yang ke Kaherah untuk menjalani pembedahan pemindahan kerana undang-undang India tidak membenarkan perdagangan organ.

Senarai menunggu untuk organ amat panjang di India dengan jumlah penderma yang kurang menyebabkan pasaran gelap berkembang.

Menurut maklumat kerajaan, 200,000 orang berada dalam senarai menunggu hanya untuk buah pinggang manakala 30,000 lagi, menunggu hati.

Penderma sah mengikut undang-undang hanya mampu memenuhi tiga hingga lima peratus permintaan.

Ada pesakit yang terlalu terdesak menggunakan khidmat orang tengah untuk membeli organ. Orang tengah terbabit lazimnya mencari ‘penderma’ di perkampungan terpencil yang ditipu dengan dijanjikan wang atau kerja di bandar.

Penerima organ terbabit dilapor membayar sehingga tiga juta rupee (RM197,000) kepada ejen yang mendapatkan buah pinggang dengan pendermanya menerima kira-kira 500,000 rupee (RM33,000). - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com