Sedia Khidmat Jururawat, Pelatih Peribadi Ke Rumah


PETALING JAYA - Sentuhan profesional bagi khidmat urutan atau fisioterapi dari rumah ke rumah mungkin bukan perkara baharu bagi golongan berkemampuan berdasarkan kos yang agak tinggi.

Namun kini sebuah syarikat anak tempatan mengorak langkah menyediakan perkhidmatan khusus untuk pesakit kurang berkemampuan.

Dengan berbekalkan badan sado, wajah kacak, perwatakan menarik serta cantik, Passionate Healthcare menyediakan jururawat atau pelatih peribadi yang berkelayakan dalam bidang berkenaan.

Pengerusi Passionate Healthcare, Abdul Hafiz Faizal memberitahu, setakat ini, khidmat pasukannya mendapat sambutan menggalakkan sejak beroperasi awal tahun ini.

"Syarikat rawatan kesihatan ini mempunyai 36 jururawat lelaki dan wanita termasuk tujuh pelatih kecergasan peribadi.

"Sebenarnya saya sendiri sudah memulakan rawatan ke rumah sejak 2014 dan kini membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang pakar dalam bidang fisoterapi, kesihatan serta jurulatih fizikal.

"Setakat ini saya menyediakan perkhidmatan di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Putrajaya. Apa yang penting, perhidmatan ini bukan mengejar bayaran semata-mata, tetapi untuk membantu golongan yang memerlukan rawatan berpanjangan.

"Nak kata saya kenakan bayaran tinggi, tak juga kerana setiap perkhidmatan yang dibuat hanya dicaj minimum RM60 hingga RM120 mengikut rawatan yang diperlukan.

"Malah saya tidak mengenakan sebarang bayaran untuk konsultasi dan jarak perjalanan," jelasnya kepada mStar Online.


Mengimbas kembali khidmatnya dalam bidang fisioterapi, pemegang Diploma Fisioterapi dari Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ itu, segalaya bermula dengan minat serta ingin membantu golongan kurang bernasib baik.

"Saya memang minat fisioterapi. Dengan ilmu yang dipelajari, saya menggunakan peluang ini sebaiknya dengan membantu mereka yang memerlukan termasuk golongan gelandangan. Saya juga memberi perkhidmatan ke kawasan pedalaman seikhlas hati dan percuma.

"Pengalaman berdepan dengan ibu sakit sebelum ini menambahkan semangat dalam diri saya untuk meneruskan perkhidmatan ini secara serius.

"Walaupun pada awalnya keluarga sendiri tidak yakin dengan saya untuk menubuhkan syarikat kesihatan ini, tetapi syukur semuanya kini berjalan lancar.

"Saya bermula dengan 'zero'. Memang tidak ada modal untuk menjalankan perkhidmatan ini. Nak harapkan keluarga, tidak boleh kerana saya bukan dari golongan kaya. Ketika belajar sebelum ini pun,  perbelanjaan bulanan RM100 saya gunakan sebagai modal untuk menjual 'hot dog' di kolej.

"Di situlah saya mula mengumpul wang dan penubuhan pasukan rawatan ini bukan sahaja untuk membantu pesakit, tetapi sebagai sumber rezeki.

"Setiap bayaran yang diterima, saya hanya ambil 10 peratus sahaja, selebihnya diberi kepada staf yang bertugas," jelasnya.

Dalam pada  itu, kata anak kelahiran Johor Bahru berusia 25 tahun itu, berbadan sado adalah syarat untuk mengambil pelatih peribadi.

"Personal trainer perlulah badan yang menarik untuk menyakinkan pelanggan. Lagipun saya mementingkan penampilan supaya pesakit lebih yakin dengan khidmat kami.

"Alhamdullilah, sepanjang perkhidmatan ini, kami menerima maklum balas yang baik dan semua pesakit berpuas hati.

"Sehingga kini, tiada sebarang permintaan pelik daripada pesakit. Kami hanya memberi perkhidmatan berkaitan seperti penjagan kesihatan, fisioterapi dan kecergasan. Apa yang penting ada perubahan positif kepada pesakit yang menerima rawatan.

"Setakat ini saya telah berjaya membantu dan menjaga seorang pesakit strok selama empat tahun sehingga beliau boleh berjalan seperti biasa," ujarnya.

Abdul Hafiz juga memasang impian untuk melebarkan perkhidmatannya ke beberapa negeri termasuk di utara Semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak, selain memberi khidmat percuma.

"Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini untuk tampil membantu golongan yang memerlukan. Tidak rugi menolong orang.

"Saya lebih bersemangat apabila staf bertambah dan paling teruja apabila atlet tinju negara, Adli Hafidz (pingat perak KL2017) turut menyertai pasukan saya.

"Dia seorang yang bagus, menjadi personal trainer dan jurulatih tinju. Ramai pelanggan sudah mendapat badan idaman serta pandai bertinju," ujarnya yang gembira dengan perkembangan pasukannya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com