Sedekah RM1 Tuah Nabil


Pelawak popular Nabil Ahmad gembira apabila video berjudul Dari Gaji RM600 ke RM50,000 tular di laman Internet sejak empat hari lalu.

Nabil berkata, video berdurasi 16 minit itu memaparkan dia berkongsi rahsia kejayaan dalam hidup dengan amalan sedekah dan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kalau nak tahu video ini dirakam tiga tahun lalu, tetapi saya pelik kenapa baru sekarang ia dimuat naik ke YouTube. Bagaimanapun, saya okey saja kerana apa yang dikongsi itu perkara baik dan bermanfaat untuk semua.

“Banyak yang ‘tweet’ di laman Twitter memuji perkongsian saya ini. Tidak dinafikan ada juga yang mengkrtitik kononnya saya sengaja menunjuk-nunjuk dan bersikap riak.

“Apa yang saya kongsi ini jujur dari hati. Orang tanya jadi saya jawab. Dalam masa sama, saya mahu didik orang ramai supaya sentiasa beringat. Bersedekah bukan ketika kita senang saja, tetapi bila-bila masa,” katanya.

Nabil menjelaskan, perkongsian mengenai jumlah pendapatan itu memang benar-benar berlaku dan bukan rekaan.

“Sekiranya saya tak berkongsi hal ini, sudah tentu video ini tidak menarik perhatian. Tajuk yang digunakan memainkan peranan.

“Saya tidak kisah ia tular. Saya bukan kongsi perkara tidak baik. Malah, setiap kali saya ceramah motivasi, perkara pertama saya kongsi adalah mengenai kejayaan,” katanya.

Mengulas lanjut kritikan segelintir pengguna laman sosial yang mempertikai niatnya, Nabil berkata dia melihat perkara itu secara positif.

“Saya beri ilmu percuma pun orang kata saya riak. Sedangkan ada yang berkongsi pengalaman dengan bayaran, tiada sesiapa pula kritik.

“Sedangkan mereka juga menyatakan jumlah pendapatan yang jauh lebih banyak daripada saya. Jadi apa beza saya dengan mereka,” katanya.

Nabil berkata, sikap ibunya yang suka bersedekah membuatkan dia turut melakukan perkara sama sejak kecil lagi.

Malah dalam video itu, Nabil berkongsi dia pernah membantu seorang lelaki tua dengan memberikan RM1 meski ketika itu dalam tangannya cuma ada RM2.

“Kita tidak pernah tahu siapa gerangan orang dibantu. Jadi tidak perlu berkira atau memilih. Kalau kita rasa orang susah berkenaan lebih memerlukan, tidak salah membantu.

“Saya selalu perhati apa mak buat. Sedangkan kalau ikutkan keluarga saya dulu juga susah. Namun mak tidak pernah berkira,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com