Sebat Majikan Lindung PATI - Mustafar


TAIPING- Hukuman lebih tegas termasuk sebat akan dikenakan ke atas majikan yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata beliau sudah bertemu dengan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, supaya hukuman itu dilaksanakan.

"Saya telah berjumpa dengan Ketua Hakim Negara bagi membincangkan isu kehakiman dan beliau menyatakan kesediaan serta tindakan tegas, termasuk hukuman sebat terhadap majikan yang masih berdegil," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengetuai 39 pegawai dan anggota jabatan itu melakukan operasi menahan PATI di dua tapak pembinaan di sini dan Kamunting malam tadi hingga awal pagi tadi.

Mustafar berkata, pihaknya turut mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi PATI termasuk membeku aset syarikat mereka.

Beliau berkata, sehingga jam 11.30 malam tadi seramai 11,500 PATI dan 272 majikan ditahan di seluruh negara kerana melindungi dan menggaji PATI dalam operasi berterusan dijalankan Jabatan Imigresen sejak berakhirnya program kad sementara (E-Kad) pada 30 Jun lalu dan operasi akan dilakukan secara berterusan.

Katanya, operasi di sini yang bermula jam 10.30 malam tadi dan berakhir lima jam kemudian pula, seramai 139 pekerja warga asing diperiksa dan 45 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan menyalahguna pas pekerjaan.

"Dalam operasi ini, seramai 39 lelaki dan enam wanita serta dua kanak-kanak masing-masing berusia satu bulan dan tiga tahun ditahan dan mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi tujuan dokumentasi sebelum dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama majikan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau pembinaan rumah kongsi di kawasan tapak pembinaan di kawasan Taiping yang disifatkan berbahaya untuk diduduki.

"Dari segi pihak kami, Jabatan Imigresen tidak berkompromi dengan PATI dan terus menjalankan operasi namun dari segi keselamatan pekerja warga asing, PBT meneliti aspek penempatan mereka.

"Contohnya di kawasan tapak pembinaan yang belum siap, pemaju menyediakan rumah kongsi di tingkat bawah," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com