Saham FGV Naik Selepas Pengerusi Baharu Janji Pulihkan Syarikat


SAHAM Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia mendapat tarikan pada awal dagangan semalam apabila pengerusi baharunya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berjanji untuk memulihkan syarikat itu serta menyelesaikan isu-isu dalam kumpulan.

Pada 10.19 pagi, kaunter itu meningkat tujuh sen kepada RM1.71 dengan 13.45 juta saham diniagakan.

Azhar dijadualkan mempengerusikan dua mesyuarat pada hari pertama beliau bertugas semalam.

Mesyuarat pertamanya adalah dengan kakitangan pengurusan utama diikuti kemudiannya mesyuarat kedua pada 3 petang dengan ahli lembaga pengarah.

Dalam laporan berita pada Sabtu, Azhar berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan FGV di samping menokok nilai kepada syarikat pertanian dan agro-komoditi dunia itu.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memulihkan keyakinan dalam syarikat dan juga memastikan semuanya dilakukan dengan betul... jadi, jika ada perkara yang samar-samar kami perlu selesaikannya.

"Dan saya juga mahu memastikan kami menyelesaikan isu berkaitan dengan ketua pegawai eksekutif secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com