Rompakan Kedai Emas Di Petang Aidiladha


ENAM lelaki memakai topi keledar tutup penuh muka dan bersenjatakan pistol dan tukul besi merompak kedai emas di pusat beli belah AEON Rawang, 6.40 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.45 petang.

"Keenam-enam suspek menaiki tiga motosikal dipercayai Yamaha 125. Bagaimanapun, hanya tiga daripada mereka yang masuk ke premis terbabit.

"Dua daripada suspek membawa tukul besi, manakala seorang lagi suspek bersenjatakan pistol.

"Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah siling di dalam kedai berkenaan dan memecahkan empat cermin meja pameran sebelum melarikan diri," katanya.

Ali berkata, ketika kejadian ada dua pelanggan wanita dan empat pekerja berada di dalam premis terbabit.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kami masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jumlah kerugian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis terbabit," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Kejadian itu turut tular di Facebook selepas rakaman video ketika kejadian dikongsi orang awam.

Dalam video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan empat lelaki memakai topi keledar tutup penuh muka memecahkan cermin pameran dan meletakkan barang kemas ke dalam beg sebelum melarikan diri.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati pihak polis masih melakukan siasatan termasuk menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com