Ribut Lidia Ragut 3 Nyawa


MEXICO CITY - Sekurang-kurangnya tiga terbunuh selepas ribut tropika Lidia membawa hujan lebat hingga menyebabkan banjir sekitar pantai peranginan terkenal Los Cabos di sini, kata pihak berkuasa.

Ribut yang membawa angin dengan kekuatan 97 kilometer sejam dijangka bergerak ke kawasan utara Semenanjung California Mexico sebelum beralih ke barat Pasifik hari ini.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang berpangkalan di Miami melaporkan, Lidia dengan kelajuan 89 kilometer sejam mula bergerak ke timur laut Cabo San Lazaro, dengan kelajuan 19 kilometer sejam ketika ia menghampiri pantai barat semenanjung.

Ketua perkhidmatan kecemasan kebangsaan, Luis Felipe Puente, berkata taufan itu menyebabkan kematian seorang kanak-kanak dan dua dewasa yang cuba menyeberang kawasan sungai berarus deras.

Pada masa sama, Lidia menyebabkan kerosakan kediaman dan jalan hingga memaksa 2,800 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan kereta dan trak tersadai di tepi jalan dan berlaku kerosakan struktur depan pantai.

Menurut NHC, ribut diramal mula reda dalam tempoh beberapa hari dan ia dijangka membawa hujan antara 15 hingga 30 sentimeter ke seluruh semenanjung termasuk Sinaloa dan Sonora.

"Hujan ini boleh menyebabkan banjir kilat dan lumpur, selain mengancam nyawa," kata NHC. - Reuters


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com