Remaja Terlibat 11 Kes Samun Guna Parang Panjang Ditahan Polis Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM- Seorang remaja lelaki disyaki terbabit dalam 11 kes samun berkawan menggunakan parang panjang di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan dalam satu serbuan di Taman Sejahtera di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis berjaya menahan remaja berusia 18 tahun itu pada kira-kira 10 malam dan dipercayai dua lagi rakannya masih bebas.

"Sasaran geng samun itu adalah mangsa yang baharu balik kerja atau jalan bersendirian dan mereka akan mengacukan parang panjang dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang serta barang berharga," katanya di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya kini menggiatkan operasi mengesan dua rakan suspek berusia 20-an yang telah dikenal pasti identiti mereka.

Katanya remaja berusia 18 tahun itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Nik Ros Azhan berkata polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri komponen kenderaan milik pelanggan sebuah bengkel di kawasan Perniagaan Sungai Rambai di sini, pada Khamis.

Katanya lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di belakang sebuah restoran di Lorong Tembikai 1 di sini, kira-kira 10 pagi dan polis merampas pelbagai komponen kenderaan yang dicurinya.

"Modus operandi lelaki yang juga bekerja sebagai mekanik itu ialah mengumpil kenderaan pelanggan di bengkel-bengkel kereta di beberapa lokasi sekitar Bukit Mertajam sebelum mengambil komponen yang boleh digunakan."Susulan penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah kereta Proton Iswara, satu set lampu hadapan kereta,sebuah bumper kereta warna kelabu, sebuah bumper kereta warna hitam dan nombor pendaftaan,"katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com