Rasmi: Sultan Kedah Mangkat, Rakyat Kedah Berduka Serata-Rata


ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, 90 mangkat di Istana Anak Bukit Alor Setar 2.30 petang hari ini.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri, Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Wisma Darulaman, di sini petang ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Sulit Pejabat Sultan, Datuk Wira Syed Unan Masri Syed Abdullah, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din.

Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di sisi Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun dan puteri baginda, Tunku Temenggong Kedah, Brigader Jeneral Tan Sri Diraja, Tunku Puteri Intan Shafinaz.

Seluruh Kedah kini bersedih dan berkabung di atas kemangkatan Sultan Kedah yang sangat disayangi oleh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media lewat petang tadi mengumumkan pengibaran bendera negeri Kedah pada setengah tiang selama tiga hari bermula hari ini, 11 September hingga 13 September.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat jelata di negeri ini turut akan berkabung selama 7 hari bermula hari ini hingga 17 September, di mana sebarang aktiviti melibatkan hiburan atau keramaian dibatalkan berkuatkuasa serta merta sehingga tempoh berkabung tamat.

Selain itu, Ahmad Bashah mengumumkan esok, Selasa, 12 September 2017, sebagai cuti kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah, namun peperiksaan UPSR ditetapkan berjalan seperti biasa.

"Marilah kita sama berdoa ke hadhrad Allah SWT, semoga roh Almarhum Sultan Kedah yang kita sayangi ditempatkan bersama para syuhada dan solihin," seru beliau di akhir sidang akhbar sebentar tadi.

Turut hadir di sidang media berkenaan adalah barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Kanan Jabatan Kerajaan Negeri.

Almarhum merupakan Sultan Kedah  ke-27 sejak 1998 hingga kini (11 September) serta dua kali dilantik sebagai Yang DiPertuan Agong yang kelima (1970-1975) dan ke-14 (2011 - 2016).

Tuanku Abdul Halim diputrakan pada 28 November 1927 di Anak Bukit, Alor Setar.
Baginda merupakan putera kedua kepada Sultan Kedah yang ke-26, DYMM AlmarhumTunku Sultan Badlishah bersama Tunku Sultanah Safiah Tunku Mahmud, namun baginda merupakan putera tertua yang hidup.

Baginda kemudian menjadi ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah pada 1949.

Latar belakang pendidikan Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, di mana baginda mendapat diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

Baginda mewarisi takhta Kedah ayahandanya pada Julai 1958 dan ditabalkan pada Februari 1959.

Almaruhum Tuanku Abdul Halim kemudian terpilih menjadi Timbalan Yang DiPertuan Agong antara September 1965 dan September 1970.

Apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, ketika berumur 43 tahun, baginda menjadi Yang DiPertuan Agong kedua termuda yang pernah dilantik, iaitu selepas Tuanku Syed Putra, Raja Perlis yang dilantik ketika berumur 40 tahun.

Baginda menyaksikan pertukaran kali pertama ketua kerajaan Malaysia iaitu apabila ayahanda saudara baginda, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberikan jawatannya kepada timbalannya Tun Abdul Razak.

Pada November 2006, Tuanku Abdul Halim dipilih buat kali kedua sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bermula Disember 2006 hingga Disember 2011.

Beliau merupakan sultan ketiga memegang jawatan ini dua kali, selepas Tuanku Ja’afar dari Negeri Sembilan dan Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu.

Pada 15 Julai 2008 baginda menyambut Jubli Emas, iaitu ulang tahun pemerintahan baginda ke-50 di Kedah.

Pada 12 dan 13 Oktober 2011, Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-225 telah memutuskan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bakal menggantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 mulai 13 Disember 2011.

Baginda sekali lagi ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong, yang ke-14 di negara ini, sekaligus menjadi sultan pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan yang tertua ditabalkan (84 tahun).

Sultanah Kedah yang pertama, Almarhumah Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang mangkat pada 2003.

Baginda dikurniakan tiga puteri, Tunku Soraya dan  Almarhumah Tunku Sarina dan Tunku Intan Safinaz. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com