Ramlee Awang Murshid Tiada Masalah Jadi Mr Mama


KALAU orang lain, mungkinlah agak sedikit malu untuk bergelar Mr. Mama di rumah apatah lagi berhadapan dengan pandangan orang ramai.

Namun bagi novelis thriller, Ramlee Awang Murshid, beliau tidak kisah bergelar Mr. Mama dan membantu menguruskan rumah tangga.

"Rutin saya berubah sepenuhnya apabila berhenti kerja pada 2012, selepas mengejutkan anak dan isteri bangun subuh, saya akan buat sarapan dan hantar anak ke sekolah.

"Kemudian saya akan melakukan kerja rumah, setelah selesai barulah saya akan mula bekerja seperti menulis novel dan sebagainya.

"Saya tidak kisah apa pandangan orang ramai terhadap Mr. Mama ni, malah di kawasan kejiranan saya pun, jiran-jiran tidak tahu saya kini menjadi novelis sepenuh masa," katanya ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf.

Beliau berkata, terdapat beberapa sebab mengapa beliau mengambil keputusan sedemikian.

"Sebab utama kerana saya sudah penat bekerja, hampir 19 tahun saya kerja di bawah orang timbul juga keinginan untuk bekerja sendiri.

"Selain itu, saya tak mahu curi-curi masa bekerja untuk menulis, rasa berdosa dan tidak berkat bila gunakan waktu bekerja itu untuk perkara lain, bila umur dah meningkat ini memang banyak benda saya fikir," katanya.

Sementara itu, Ramlee turut menceritakan kesukaran menguruskan rumah tangga semasa mula-mula bergelar Mr Mama.

"Mula-mula tu kekok jugalah, masak pun tidak pandai sangat. Kadang-kadang bila anak lihat apa yang saya masak, boleh agak yang dia bandingkan masakan saya dengan isteri.

"Tapi lama-lama, adalah perubahan, dah 'terer' sikit, lagipun Rasulullah SAW dahulu pun bantu isterinya juga,  kenapa saya tidak boleh?" katanya.

Berbicara mengenai menjadi penulis novel sepenuh masa ini, Ramlee berkongsi cabaran yang perlu dihadapinya.

"Cabaran yang dihadapi adalah masa, di mana saya perlu uruskan hal anak, rumah tangga, dan kemudian menulis.

"Oleh itu, saya kena bijak menguruskan masa supaya segalanya dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com