Rafizi Bakal Hadapi Tindakan Disiplin PKR?

SUSULAN pelbagai kritikan dan tindakan memecahbelahkan parti yang dilakukan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ramai pemimpin parti itu menempelak dan mahu tindakan disiplin diambil terhadap ahli Parlimen Pandan itu. 

Antara yang membuat aduan ialah PKR Negeri Sembilan yang mahu tindakan disiplin terhadap Naib Presiden parti itu dan seorang ketua cabang di Rembau pada 30 Ogos lalu.

Aduan tersebut dibuat oleh Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Azlinah Zamli menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos baru-baru ini yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Jeneral (B), Datuk Abdul Hadi Khattab.

“Saya ingin melaporkan aduan tentang dua orang ahli yang secara terang-terangan mencemar imej dan nama baik parti. Mereka ialah Naib Presiden, Rafizi Ramli dan Ketua Cabang Rembau, Yusof Tapar,” kata Azlinah dalam surat tersebut.

Dalam aduan tersebut, Azlinah mengungkit kembali tindakan Rafizi yang mengadakan sidang media pada 27 Ogos yang disifatkan mengecewakan ahli dan pimpinan parti.

“Selaku Naib Presiden, beliau sepatutnya membawa perkara ini ke mesyuarat Biro Politik yang beliau sendiri adalah anggotanya.

“Beliau memberi gambaran kepada masyarakat umum seolah-olah parti sedang menghadapi konflik perpecahan yang agak serius sehingga memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional sebagai modal politik mereka untuk menghentam parti,” katanya lagi.

Mengenai aduan melibatkan Yusof pula, Azlinah mendakwa tindakan beliau yang menyokong tindakan Rafizi keesokkan harinya pada 20 Ogos dilihat sebagai bersekongkol sehingga memberi persepsi tidak baik terhadap parti.

“Sidang media tersebut telah mendapat liputan meluas dari portal-portal media maya dan disiarkan di dalam Buletin TV3 pada hari sama.

“Perkara ini sangat memberi kesan dan persepsi tidak baik kepada ahli dan pengundi tatkala PRU-14 semakin hampir,” katanya.

Azlinah menggesa supaya tindakan disiplin diambil terhadap kedua-dua pimpinan tersebut dengan segera demi kepentingan parti tersebut.

Baru-baru ini, Rafizi menyifatkan pimpinan atasan PKR berpecah dua dalam isu sama ada parti itu perlu berunding dengan PAS, walaupun parti Islam itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan dan sudah pun memutuskan sebarang kerjasama dengan parti.

Rafizi turut menamakan pemimpin yang pro dan kontra dalam soal menjalinkan kerjasama dengan PAS, dan berkata kekeliruan itu hanya boleh diselesaikan sekiranya isu itu diserahkan kepada akar umbi parti dalam kongres khas.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak pemimpin PKR yang dilihat tidak sehaluan dengan Rafizi, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini mempertahankan usahanya berunding dengan PAS.

Bagaimanapun, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan muktamad untuk tidak meneruskan rundingan dengan PAS dan juga melantik Mohamed Azmin sebagai Pengerusi gabungan itu di Selangor.

Sumber : MalaysiaGazette


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com