Polis Wujudkan Portal Akaun Bank Terlibat Penipuan


KUALA LUMPUR - Orang ramai kini boleh menyemak akaun bank yang terlibat dalam penipuan urus niaga dalam talian menerusi portal khas yang diwujudkan Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) (Siber dan Siasatan Multimedia), Senior Asisten Komisioner Ahmad Noordin Ismail berkata, portal yang dikendalikan JSJK itu masih dalam peringkat percubaan.

"Menerusi portal ini, orang ramai boleh memeriksa sama ada akaun bank itu pernah dilaporkan terbabit dalam penipuan dengan masukkan nombor akaun untuk semakan.

"Sekiranya ada penipuan menggunakan akaun terbabit, ia akan dipaparkan di ruang carian," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Katanya portal  http://ccid.rmp.gov.my/semamule/ itu mula beroperasi beberapa hari lepas sebagai percubaan dan telah menerima 47,000 pelawat dengan 25,000 carian.

Portal itu dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat, katanya.- Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com