Polis Siasat Facebook Sebar Maklumat Palsu Burukkan PDRM


SERDANG - Polis akan menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun laman sosial yang didakwa menyebarkan maklumat palsu dengan tujuan memburukkan imej dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, ia berhubung penularan kes ketidakpuasan hati seorang pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan saman oleh polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, baru-baru ini.

Difahamkan, pemilik kenderaan pacuan empat roda itu mendakwa tidak berpuas hati dikenakan tindakan saman atas kesalahan kononnya dia menggunakan ‘sun shade’ pada cermin kenderaannya.

Megat Mohd berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki itu ditahan anggota trafik yang menjalankan Operasi Sekatan Jalan Raya di Jalan Serdang Perdana, petang Selasa.

Menurutnya, pemilik kenderaan tersebut sebenarnya dikenakan saman di bawah Seksyen 4(B) PU(A) 039/91 dalam Akta Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis- Jenis Kaca Tertentu) kerana menggunakan cermin gelap.

Beliau berkata, gambar 'sun shade' yang tular di media sosial bersama surat saman diterima pemilik kenderaan itu adalah gambar yang diambil daripada laman sesawang dan bukanlah gambar sebenar kenderaan tersebut.

“Polis pandang serius aduan tersebut dan akan jalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan maklumat tidak betul dengan niat memburukkan imej dan kredibiliti PDRM.

“ Tindakan menyebar maklumat palsu boleh diambil di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15),” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut boleh menjejaskan kententeraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat. 

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com