Pintu Rundingan Antara Pakatan Dengan PAS Sudah Ditutup - Mukhriz

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata mereka tetap berpegang kepada keputusan Majlis Presiden Harapan pada 29 Ogos lalu yang menutup pintu rundingan dengan PAS.

Keputusan itu sekali gus menutup sebarang ruang rundingan antara gabungan empat parti pembangkang, PKR, PPBM, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan PAS, kata Mukhriz yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan.

"Mungkin dalam mesyuarat akan datang, kita akan dapatkan sedikit penjelasan daripada rakan-rakan dari PKR, " kata Mukhriz.

"Kita tak tahu bila (bermesyuarat) tetapi biasanya akan ditetapkan oleh pengerusi ( Dr. Mahathir Mohamad) . Biasanya, semua yang dilantik dalam majlis itu akan hadir dan di situ kita akan mendengar pandangan daripada semua pihak, "ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian merujuk  beberapa pemimpin PKR yang masih berharap untuk bekerjasama dengan PAS walaupun gabungan pembangkang tegas berpegang kepada keputusan Majlis Presiden pakatan itu untuk menutup pintu rundingan.

Masalah timbul apabila sepucuk surat yang didakwa daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah-olah memberi 'lampu hijau' kepada PKR untuk meneruskan kerjasama dan rundingan dengan PAS.

Pengarah Pilihan Raya pakatan pembangkang, Datuk Seri Azmin Ali, yang mengingatkan Anwar juga mempunyai hak untuk menyuarakan cadangan dan pandangannya.

Pengerusi pakatan pembangkang Tun Mahathir yang mendakwa kerjasama PKR-PAS itu boleh memberi masalah kepada pembangkang.

"Setakat yang saya tahu, keputusan itu (tidak lagi berunding dengan PAS) sudah 'final' (muktamad). Cuma kita nak sedikit penjelasan daripada rakan kita di PKR," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Pertama PPBM di Johor, kelmarin.

Dalam masa yang sama  Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, ketika ditemui pada majlis sama mengakui keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PAS sudah dibuat dan ia dilaksanakan secara konsensus.

PAS pula berlulang kali menyatakan parti itu mampu menghadapi PRU 14 tanpa sokongan mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com