Pindah Kawasan PRU: Bukti Pembangkang Bukan Hendak Beri Khidmat Pada Rakyat


ANGGOTA Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ab Aziz Kaprawi menyifatkan sikap pemimpin pembangkang yang suka berpindah-randah kawasan bertanding membuktikan mereka hanya mementingkan agenda politik peribadi dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Inilah sikap sebenar pemimpin pembangkang daripada Pakatan Harapan yang gemar berpindah-pindah kawasan yang diwakilinya demi kelangsungan politik peribadi mereka "Yang jauh berbeza dengan apa yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional yang kebanyakan calon merupakan anak setempat ataupun sudah lama memberi khidmat kepada kawasan tersebut tidak kira menang atau kalah pada pilihan raya," katanya dalam kenyataan semalam

Ab Aziz yang juga anggota Parlimen Seri Gading, Johor mengulas laporan berita mengenai sekurang-kurangnya empat pemimpin utama Pakatan Harapan difahamkan sudah bersedia bertanding di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mengikut laporan itu, pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menurut Ab Aziz, ia merupakan bukti terbesar komitmen pemimpin Pakatan Harapan yang bertanding pilihan raya bukan bertujuan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau mendakwa Nurul Izzah yang merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai sebenarnya telah mendapati dirinya tidak mampu untuk memenangi kerusi itu sekiranya bertanding semula di situ kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat.

"Di Lembah Pantai, saya melihat Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Utama Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin lebih memberi khidmat kepada rakyat berbanding Nurul Izzah.

"Malah, Residensi Kerinci yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hasil perjuangan UMNO Lembah Pantai dan bukannya anggota Parlimen di situ," kata beliau.

Ab Aziz yakin dan percaya Bangsa Johor tidak akan tertipu dengan propaganda yang hendak dibawa pembangkang ke negeri itu.

- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com