Pesakit Kanser Duduki UPSR Di HUSM


KOTA BHARU - Seorang murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang juga pesakit barah otot tahap tiga terpaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, semalam.

Mohamad Najmee Rosidi, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong, Rompin, Pahang, dimasukkan ke HUSM pada 17 Ogos lalu selepas mengalami dehidrasi sesudah tiga hari menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Rompin, Pahang.

Ketika ditemui di HUSM, Mohamad Najmee berkata, sejak dimasukkan ke hospital, ayah dan ibunya, Rosidi Saad, 44, dan Fazilawati Md Isa, 35, terpaksa menemani dia setiap hari.

"Disebabkan penyakit yang dikesan pada Februari lalu, saya mengambil keputusan melupakan persekolahan kerana perlu berulang alik dari rumah di Rompin ke HUSM di sini bagi menjalani rawatan kimoterapi tiga minggu sekali.

"Walaupun perlu mengulang kaji pada saat akhir, namun saya nekad menduduki UPSR dan tidak mahu memikirkan sangat hal sakit kerana mahu berjaya seperti rakan lain," katanya.

Mohamad Najmee berkata, dia sedaya upaya menjawab kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan dengan sebaik mungkin, semalam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com