Perak, FELDA Tak Pandang Mudah Lawan Suku Akhir


IPOH - Juara dan naib juara Kumpulan B, Perak dan FELDA United tidak memandang mudah lawan suku akhir masing-masing dalam kancah Piala Malaysia 2017.

Perak akan bertandang ke Kuantan untuk pertemuan dengan Pahang manakala FELDA melayani kunjungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).   

Bagi jurulatih FELDA United, B Sathianathan walaupun bertemu pasukan Liga Perdana tetapi dia tetap menghormati anak buah Abu Bakar Fadzim.   

"Kami akan bertemu sebuah lagi pasukan dari Perak. PKNP FC sebuah pasukan yang bagus. Mereka mungkin bermain dalam Liga Perdana tetapi memiliki bahan serta semangat dan jiwa sebuah pasukan besar.

" Kami pernah tumpas kepada mereka dalam perlawanan persahabatan, malah PKNP FC juga pernah jadi penakluk gergasi dengan menumpaskan pasukan Liga Super," katanya selepas kekalahan 1-2 di tangan Perak dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Perak, malam tadi.   

Berikutan itu, Sathianathan berkata pasukan The Fighters perlu  melakukan lebih banyak kerja rumah menjelang perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tun Razak, Jengka.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan membariskan pemain  simpanan masing-masing dalam usaha menguji kemampuan mereka. 

"Saya kecewa dengan kekalahan ini tetapi terdapat perkara positif ditonjolkan beberapa pemain muda ini, " katanya.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menjelaskan walaupun dalam suasana ceria dia tidak menolak kemungkinan pasukan itu akan berdepan laluan sukar di suku akhir nanti    

"Pahang bukan calang-calang pasukan. Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka" katanya. 

Apapun Durakovic mampu tersenyum lebar berikutan pencapaian cemerlang Bos Gaurus dalam kempen mereka.

"Apa lagi yang saya mahu berikutan prestasi cemerlang pasukan ketika ini. Cuma saya harap ia berterusan dan kami akan mara sejauh mungkin," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com