Peniaga Kuaci Dijel, Denda Mencuri Kondom


MELAKA- Seorang peniaga kuaci di pub-pub sekitar bandar ini dipenjara sehari dan denda sebanyak RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk kondom di pasar raya Aeon Bandaraya Melaka pada tahun lalu.

Majstret Mohd. Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Too Loi Heng, 34, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri tujuh kotak kondom, enam tin minuman alkohol Guinness, tiga bungkus coklat Nestle Kitkat dan sebungkus milo (dua kilogram) berjumlah RM173.71.

Perbuatan itu dilakukannya kira-kira pukul 4 petang di pasar raya Aeon Bandaraya Melaka pada 13 Februari 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana item yang dicuri bukan barangan keperluan asas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hukumannya diringankan dengan alasan dia menanggung isteri dan dua anaknya yang masih kecil.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mohd. Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau penjara sebulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com