Penggodam Tuntut Wanita Iran Dibenar Tonton Bola


TEHRAN - Laman web stadium utama Iran diceroboh hari ini dengan tuntutan wanita dibenarkan menyaksikan pertandingan bola sepak, sehari selepas ahli perundangan wanita dibenarkan menontonnya.

Pertandingan kelayakan Piala Dunia menentang Syria di Stadium Azadi di Tehran lebih terserlah berbanding gol penyamaan pada minit akhir yang dihasilkan pasukan pelawat.

Kehadiran sekurang-kurangnya dua wakil rakyat wanita adalah kali pertama wanita negara itu dibenar menyaksikan pertandingan sukan lelaki sejak revolusi 1979.

Keesokan harinya, agensi berita ISNA melaporkan laman web stadium itu diceroboh, dengan sepanduk diletakkan seluruh muka depan beberapa jam yang berbunyi: 'Benarkan wanita Iran memasuki stadium.'

Difahamkan Kementerian Sukan memberikan kebenaran khas bagi anggota Parlimen wanita menonton perlawanan itu susulan permohonan dikemukakan ahli perundangan, Tayebeh Siavoshi.

Sebahagian ahli Parlimen wanita menolak tawaran itu.

"Pada ketika wanita dalam negara itu tiada pilihan kecuali berpakaian seperti lelaki untuk memasuki stadium, saya mewakili mereka tidak akan menghadirinya dengan menerima permit khas," kata seorang anggota Parlimen, Parvaneh Salahshouri. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com