Pemuda PAS Dedah Strategi DAP, Pakatan Harapan Tawan Kedah


ALOR SETAR - Rakyat di negeri ini diberi amaran supaya berwaspada dengan "fokus palsu" Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini "memerintah" Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR untuk menawan Kedah pada PRU ke-14 nanti.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Salim Mahmood berkata, empat Dewan Undangan Negeri (Dun) sasaran Pakatan Harapan yang disebut Kit Siang iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra hanyalah sekadar propaganda tidak realistik untuk ditawan gabungan yang dikuasai DAP itu.

"Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan.

"Kit Siang telah menggesa supaya PH tidak mensia-siakan potensi di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang menang tanpa menyebut parti dimaksudkannya.

"Beliau juga menamakan empat Dun iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra sebagai kubu kuat BN yang perlu dimenangi Pakatan Harapan. Serta Kit Siang mahu kerusi Dun Gurun dan Kulim diberikan kepada DAP," kata Salim menerusi kenyataan media sempena Himpunan Jentera Pilihanraya PAS Kedah, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan Kit Siang itu juga secara tidak langsung mengesahkan dakwaan ramai pihak termasuk Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berhubung penguasaan DAP di dalam Pakatan Harapan.

Salim turut menyokong pandangan Muhammad Khalil sebelum ini yang mendakwa bahawa memberi undi kepada mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan adalah sama dengan memberi undi kepada DAP yang jelas menguasai gabungan parti pembangkang tersebut.

"Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya, serta bukti dominasi DAP ke atas Pakatan Harapan. Ia membenarkan sama sekali kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP.

"Semua katanya itu jika dirangkumkan, dapat difahami betapa ia berupa terma ‘perintah atau arahan’.

"Kit Siang telah membayangkan antara PAN, PPBM dan PKR; terdapat parti yang tidak berpeluang bertanding di Kedah. Ketika sama, beliau menyimpangkan fokus palsu dengan ‘Misi Mustahil’ di empat Dun tersebut," tegas beliau lagi.

Kata Salim, tindakan DAP itu hanyalah untuk mengabui mata rakyat sedangkan parti itu sebenarnya lebih mensasarkan cengkaman pengaruh di dua kerus Dun yang dipercayai Gurun dan Kulim.

"Pada semua strategi diatur itu, beliau meletakkan jaminan menambah sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah melebarkan pengaruh di negeri ini.

"Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan Pakatan Harapan dipengaruhi mereka.

"Rakyat negeri Kedah perlu hindari diri agar tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini," katanya sekali lagi meminta supaya rakyat Kedah berwaspada dengan strategi licik pemimpin "De Facto" DAP dan Pakatan Harapan berkenaan.

PAS Kedah sebelum ini menegaskan bahawa parti itu tidak akan memberi sebarang peluang kepada PAN, PPBM, PKR mahupun DAP dan berikrar akan bertanding di semua 36 Dun serta 15 kerusi Parlimen dalam usaha merampas Kerajaan Negeri Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com