Pelan Pembangunan Rumah Kebajikan, Pusat Tahfiz Dikaji Semula


PUTRAJAYA - Semua pelan pembangunan rumah kebajikan dan pusat tahfiz di Wilayah Persekutuan akan dikaji semula bagi memastikan struktur dan aspek keselamatan bangunan menepati piawaian yang ditetapkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat perkara itu bagi memastikan tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur tidak berulang.

"Kita akan melihat bukan hanya pusat tahfiz tetapi juga rumah orang tua, anak yatim dan segala-galanya. Mana-mana pelan pembangunan yang sudah diluluskan atau masih peringkat permohonan, ia perlu dihantar kepada kita untuk dikaji semula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kejohanan Bola Baling Terbuka Putrajaya, Piala Tengku Adnan Tengku Mansor 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO menyifatkan pembangkang kini sudah seperti cacing kepanasan selepas semua tuduhan mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) terbukti tidak benar.

"Sebelum Perdana Menteri ke AS, (pembangkang tuduh) hendak kena tangkaplah, kes DOJ (Jabatan Kehakiman) AS lah, semua tidak jadi. Pembangkang tidak ada isu," katanya.

Selain itu katanya, langkah pelaburan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah demi keuntungan pencarum, malah badan sama di negara lain juga turut melabur di luar negara termasuk di Malaysia.

Kejohanan bola baling yang julung kali diadakan di sini itu turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai 'Kejohanan Bola Baling Dengan Pembabitan Pasukan Paling Banyak' dengan jumlah 129 pasukan dan 1,935 peserta.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com