Pelaburan Malaysia Di Amerika Syarikat, Khairy 'Ajar' Azmin Urus Ekonomi


KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama membuktikan bahawa Malaysia mampu melangkaui politik murahan dan terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia melalui kestabilan polisi ekonomi dan juga hubungan diplomatik yang utuh.

"Sudah tiba masanya pembangkang mengamalkan politik berteraskan idea dan intelek, bukan mengejar populariti dengan retorik dan kebencian.

"Pelaburan kita di AS, atau mana-mana negara berekonomi besar yang lain adalah untuk kebaikan rakyat dan negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khairy, sebagai negara yang mengamalkan konsep ekonomi terbuka, Malaysia menerima dan juga membuat pelaburan dengan negara-negara luar.

"Pada tahun lepas sahaja, kita telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM47.2 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20% daripada tahun 2015. Bagi separuh pertama tahun 2017, Malaysia telah mencatat aliran masuk bersih (FDI) bernilai RM25.3 bilion ke dalam pelbagai sektor terutamanya sektor perkhidmatan, pembuatan, dan perlombongan," katanya.

Tambahnya, Malaysia juga melakukan pelaburan di luar negara setiap tahun dalam kedua-dua jenis pelaburan iaitu pelaburan langsung (direct investment) dan pelaburan portfolio. Kedudukan pelaburan antarabangsa kita berjumlah RM1.7 trilion pada suku kedua tahun 2017 yang menunjukkan bahawa syarikat Malaysia telah melabur, memilik dan mendapat pulangan hasil daripada aset bernilai RM1.7 trilion dalam bentuk aset di luar negara.

"Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melabur hampir 7 bilion Dolar Amerika ke dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat. Dengan penambahan sebanyak 3 hingga 4 bilion Dolar Amerika yang dijanjikan, KWSP dijangka terus mendapat manfaat daripada pelaburan daripada pasaran Amerika Syarikat yang cemerlang .

"Kini sudah 20% daripada RM711 bilion aset di bawah pengurusan KWSP berada di luar negara yang menunjukkan kepelbagaian pelaburan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Azmin yang mempesoalkan tindakan Perdana Menteri Najib Razak membawa pelaburan Malaysia ke AS semasa bertemu dengan Presiden AS, Donald Trump.

Azmin terkejut dengan pengumuman pelaburan AS$24 bilion Malaysia di AS itu mempersoalkan, apa perlunya Malaysia membantu ekonomi terbesar dunia itu ketika ekonominya sendiri memerlukan pelaburan dari luar.

“Adalah sukar dipercayai KWSP mengikut Najib, akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion ke atas pembangunan semula infrastruktur di AS.

“Adakah perdana menteri cuba memberitahu kita yang membantu AS membina infrastruktur adalah lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan raya dan paip air?” katanya.

Pada pertemuan diantara kedua buah negara itu, Najib mengumumkan KWSP, Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu

Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.


Sumber: Agenda Daily 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com