Pejalan Kaki Maut Dilanggar Kereta Di Kulim


PEJALAN kaki maut dilanggar kereta dalam kejadian di Jalan Batu Puteh-Sungai Karangan, Kulim awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu mangsa, Mohd Shaiful Ishak berusia 25 tahun berasal dari Kampung Gunung Bongsu meninggal di tempat kejadian selepas terperosok di bawah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta berusia 35 tahun itu dalam perjalanan dari arah Sungai Karangan menghala ke Kulim.

"Apabila tiba di tempat kejadian pemandu kereta terbabit terlanggar satu objek di tengah jalan sebelum memberhentikan kenderaannya untuk melihat apa yang berlaku.

"Pemandu terbabit kemudian turun daripada kereta untuk melihat objek yang dilanggarnya dan terkejut apabila melihat ada seorang lelaki di bawah keretanya.

"Penduduk kampung serta orang ramai yang melalui jalan itu kemudian menghubungi ambulans dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengeluarkan mangsa dari bawah kereta terbabit,"katanya.

Katanya, kakitangan perubatan Hospital Kulim yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli kelurganya bagi urusan pengebumian.

"Mangsa meninggal dunia akibat parah di badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com