Pasangan Suami Isteri Dicekup Miliki Syabu, Ganja


SRI AMAN - Polis menahan sepasang suami isteri dalam satu serbuan di sebuah rumah pada Khamis, kerana disyaki memiliki dadah berbahaya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Othman Sulaiman, dalam satu kenyataan menjelaskan, serbuan dilakukan di Kampung Muhibbah, Sri Aman pada jam 3.20 petang.

Dalam serbuan terbabit, pihak polis menemui dan merampas 15 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal, disyaki dadah jenis syabu, seberat 16.7 gram dan dianggar bernilai RM5,520.


Dalam masa yang sama, pihaknya turut merampas satu bungkusan balutan perak yang mengandungi dedaun mampat, disyaki ganja, dengan berat kasar 2.5 gram dianggarkan bernilai RM100.

Hasil serbuan juga telah berjaya menahan dua suspek, lelaki dan wanita, masing-masing berusia 30 dan 26 tahun.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methaphetamine dan Tetrahydrocannabinol (THC).

Siasatan awal polis mendapati rumah tersebut milik keluarga suspek lelaki dan kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com