PAS Luah Keyakinan Tumbangkan Parti Gabungan Didominasi DAP


WALAUPUN PAS telah berpecah, parti itu masih berkeyakinan boleh menumbangkan saingan pakatan pembangkang yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan keyakinan PAS itu berdasarkan keahlian parti itu kini semakin bertambah dan mencecah  sejuta orang.

PAN, parti serpihan PAS tidak pernah mengisytiharkan jumlah ahlinya juga berkeyakinan dapat merampas negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Kajian oleh pusat penyelidik PAS baru-baru ini mendapati sokongan kepada PAN merosot. Tetapi kajian pihak lawan itu tidak  dapat diterima oleh PAN walaupun mungkin ada kebenarannya.

Namun PAN tidak riasau dengan keahlian kerana parti itu akan mendapat sokongan daripada pengundi Cina DAP di luar bandar selain penyokong senyap atau  pengundi ' atas pagar'.

Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tidak pernah mengisytiharkan jumlah keahliannya tetapi mendakwa mempunyai sokongan yang kuat di Kedah dan Johor walaupun parti itu juga menghadapi masalah ahli dan pemimpinnya keluar parti.

Oleh itu andaian PAS bahawa parti itu mampu memenangi 40 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mungkin boleh diterima, tetapi ia masih tetap diragui.

Tanpa sokongan parti pembangkang lain dan menghadapi saingan tiga penjuru PAS masih menaruh harapan yang tinggi.

Pada PRU 13, PAS yang bergabung dengan DAP dan PKR mampu menang 21 kerusi. 

Seperti juga pemimpin PAS yang lain,Takiyuddin menegaskan,  parti itu tidak gentar kehilangan sokongan gabungan parti pembangkang lain.

."PAS kini mempunyai keahlian lebih satu juta orang di seluruh negara dan kita yakin boleh menewaskan lawan dalam PH (pakatan pembangkang)," katanya ketika ditemui wartawan pada  program Himpunan 2.0 PAS kawasan Dungun, Terengganu kelmarin.

Takiyuddin menolak dakwaan bahawa PAS kini semakin lemah selepas membuat keputusan untuk bertanding bersendirian pada PRU-14.

" Kekuatan" PAS  itu mungkin parti itu diserang hebat oleh PPBM dan DAP selepas menolak untuk bekerjasama dengan PKR bagi menghadapi PRU14.

Serangan terbaharu apabila Dr. Mahathir mengulangi kenyataannya bahawa parti itu punca perpecahan umat Islam sementara DAP pulacuba menakut-nakut penyokong PAS bahawa parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dan kemungkinan hilang negeri Kelantan.

Namun demikian Takiyuddin berkata, peluang perbincangan dengan semua pemimpin parti politik masih terbuka, tetapi pintu kerjasama untuk menghadapi PRU-14 termasuk pengagihan kerusi sudah ditutup.

Ini bermakna PAS tidak akan kompromi mengenai pengagihan kerusi dengan parti pembangkang lain termasuk juga parti pemerintah UMNO tetapi sedia bekerjasama dengan mana-mana parti jika menang 40 kerusi parlimen selepas PRU14.

Beliau juga mendakwa serangan dan kecaman dihadapi PAS daripada parti pembangkang lain terutama DAP dan PPBM selepas mereka memutuskan kerjasama politik, membuktikan PAS kembali digeruni lawan. -Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com