Pak Nor Di Beri Gelaran Hang Tuah Kerana Jasanya


KUALA NERUS - Melihatkan perwatakannya, pasti ramai tidak menyangka Pak Nor Hang Tuah pernah mencatat sejarah penting dalam negara ini.

Malah, jiran tetangganya di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, di sini, juga tidak ada yang tahu warga emas ini penerima Pingat Hang Tuah yang pertama pada 1960 atas keberaniannya menyelamatkan dua nyawa daripada lemas dalam dua kejadian berasingan di Sungai Losong, Kuala Terengganu setahun sebelum itu.

Bagi Mohd Nor Omar, 73, walaupun 57 tahun detik bersejarah itu berlalu, ia saat paling manis yang pernah dilakar dalam hidupnya.

“Saya tidak lupakan sampai bila-bila tarikh 22 Oktober 1960 apabila nama saya diumumkan sebagai penerima Pingat Hang Tuah dalam majlis di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Walaupun dalam hati terbit perasaan gembira tidak terkata, tetapi pada masa sama saya amat terkejut dan tergamam sehingga terketar-ketar apabila diumum sebagai penerima pingat itu yang pertama kali diperkenalkan mengatasi 12 calon lain.

“Maklumlah saya cuma budak kampung yang tidak biasa berada pada majlis sebesar itu, apatah lagi berada dekat dengan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pagar Besi, kelmarin.

Mengimbau kembali peristiwa dia menyelamatkan dua kanak-kanak itu, Mohd Nor berkata, kejadian pertama berlaku ketika dia berehat di tepi Sungai Losong sebelum masuk kerja.

“Ketika itu, usia saya sekitar 15 tahun dan tidak bersekolah. Saya ternampak kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, kalau tidak salah namanya Fatimah terkapai-kapai di dalam sungai sebelum hilang.

“Tanpa berlengah saya terjun sebelum memautnya dan membawa Fatimah ke darat. Tidak lama kemudian, dia tersedar dan saya kembali masuk kerja.

“Satu lagi kejadian menimpa kanak-kanak dipanggil Man yang baru berusia dua tahun yang terjun dari jambatan sebelum kepalanya terperosok dalam lumpur di dasar sungai,” katanya yang mempunyai 10 anak berusia 22 hingga 48 tahun.

Mohd Nor yang mesra disapa Pak Nor Hang Tuah berkata, dia tidak mengharap pembalasan dari peristiwa itu.

“Namun seorang guru dari sekolah berhampiran yang tahu mengenai dua kejadian saya menyelamatkan dua budak ketika itu meminta saya mengisi borang untuk dihantar menyertai pemilihan peserta Pingat Hang Tuah,” katanya yang lahir di Kampung Losong Feri, Kuala Terengganu.

Walaupun begitu, kehidupan warga emas itu sukar dan hanya bergantung kepada hasil jualan kuih tradisional antaranya akok dan kuih bakar yang diusahakan bersama isteri, Zainon Mohamad, 66.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com