Nepal Ukur Semula Ketinggian Gunung Everest


KATHMANDU- Nepal sudah memulakan projek untuk mengukur semula ketinggian Gunung Everest bagi memastikan puncak tertinggi di dunia tidak terjejas susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada 2015.

Jumlah ketinggian rasmi Gunung Everest yang terletak di banjaran Himalaya antara sempadan Nepal dan China itu adalah 8,848 meter, iaitu jarak yang direkodkan oleh pengkaji India pada 1954.

Walaupun pelbagai kumpulan cuba mengukur jarak ketinggian puncak itu, namun jarak yang dicatatkan pada 1954 masih diiktiraf secara rasmi.

"Nepal tidak pernah mengukur ketinggian Everest walaupun puncak tertinggi di dunia itu berada di dalam wilayahnya.

"Jadi, kita mahu membuktikan kepada rakyat Nepal bahawa kita mampu untuk mengukur jarak ketinggian Everest.

"Ketika ini, satu kumpulan yang dianggotai pakar asing dan Nepal sudah merangka metodologi sesuai untuk melaksanakan kajian itu, yang dijangka mengambil masa selama dua tahun," kata Ketua Jabatan Kajian, Ganesh Prasad Bhatta kepada AFP.

Sebagai permulaan, sepasukan sherpa akan membawa peralatan mengukur ke puncak Gunung Everest sama ada pada April atau Oktober depan.

Pada April 2015, gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud melanda Nepal dan menyebabkan 18 terbunuh akibat runtuhan di sebuah kem di Gunung Everest. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com