Najib, Kerajaan Persekutuan Sembah Takziah Kepada Kerabat Diraja Kedah



PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dalam lawatan kerja ke Amerika Syarikat merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah berikutan kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit hari ini.

Najib berkata, Almarhum Tuanku merupakan seorang Raja Pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi dua penggal.

Menurut Najib Almarhum Tuanku sebagai Pemerintah negeri Kedah seorang yang peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

"Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi. Almarhum Tuanku dan saya mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini.

"Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah. Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah," kata Najib.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com