Murid Ambil UPSR Di Hospital


KUALA TERENGGANU - Seorang murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam di hospital akibat mengalami cirit birit dan muntah-muntah.

Luqmanul Hakim Hanafi, murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam kelmarin.

Bapanya Hanafi Idris, 39, berkata anaknya mulai demam seminggu lalu dan muntah teruk pada malam Khamis dan dia terus di masukkan ke sebuah hospital swasta pada pagi Jumaat.

"Semalam dia sudah boleh keluar tapi keadaannya menjadi teruk kembali dan kami menghantarnya pula ke hospital ini pukul 12 malam tadi. Dia sangat gementar mahu mengambil peperiksaan di hospital walaupun mendapat keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

"Anak saya agak tertekan apabila terpaksa menduduki UPSR di hospital dan saya terpaksa memujuknya hampir dua jam malam tadi. Mungkin dia bimbang tidak dapat mengulangi kejayaannya dalam peperiksaan sebenar hari ini. Namun saya sudah beritahu, dia hanya perlu lakukan yang terbaik sahaja dan selebihnya kita bertawakal kepada Allah SWT," katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu Nor Hasnizah Che Nik, 36, tidak menyangka anaknya Nur Dania Aliaa Mohd Zaidi terpaksa menduduki UPSR di HSNZ akibat kemalangan pada petang Selasa lepas.

"Dia sedang berjalan kaki di depan sekolahnya apabila sebuah kereta elanggarnya menyebabkan tulang pahanya retak.

"Bagaimanapun dia agak tenang sepanjang berada di hospital kerana sering menerima kunjungan guru-guru dan rakan sekolahnya setiap hari," katanya.

Perasaan gementar turut dirasai Farida Abu Bakar, 49, kerana anaknya Nur Ain Hidayah Ngah tidak dapat menulis akibat kecederaan pada urat pergelangan tangannya.

"Kejadian berlaku lapan hari lalu ketika anak saya membersihkan cermin tingkap. Tiba-tiba cermin itu terjatuh menyebabkan luka yang agak dalam pada urat nadi pergelangan tangannya.

"Doktor mengatakan anak saya tidak boleh membuat sebarang gerakan yang boleh memberi tekanan terhadap uratnya dan dia tidak boleh menulis. Jadi dia perlu merakam jawapannya untuk soalan UPSR dengan peralatan khas," katanya.

Farida berkata beliau sentiasa menasihatkan anaknya itu untuk bertenang dan tidak terlalu bimbang dengan keputusan yang bakal diperolehnya nanti.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi berkata terdapat sembilan calon UPSR yang terpaksa mendudukinya di beberapa hospital di negeri ini. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com