Mukhriz Cuba Hasut Ahli, Penyokong PAS "Derhaka" Kepada Parti?


ALOR SETAR - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) cuba menghasut ahli serta penyokong PAS untuk "derhaka" terhadap kepimpinan dan PAS dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengapi-apikan keadaan dengan membuat tuduhan yang senada dengan kepimpinan DAP kononnya kepimpinan PAS kini cenderung untuk menjalin kerjasama politik dengan UMNO.

"Kalau pun tidak diperingkat kepimpinan PAS (menyokong Pakatan Harapan), biarlah ahli-ahli PAS, penyokong-penyokong PAS bersama-samalah dengan kami," kata Mukhriz di sebuah program di Dun Ayer Hitam, kawasan yang dimenanginya atas tiket UMNO, baru-baru ini.

Anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu juga mendakwa Pakatan Harapan hasil gabungan DAP, PPBM, PAN dan PKR tersebut mampu "menyelamatkan" negara berbanding pihak lain.

Kepimpinan PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak sama sekali menjalin kerjasama politik dengan UMNO atau Barisan Nasional, namun sedia untuk bersatu hati bekerjasama tentang isu yang membabitkan kepentingan agama Islam dan Melayu.

Malangnya, penegasan kepimpinan PAS khususnya Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu langsung tidak dipedulikan pimpinan Pakatan Harapan yang cuba menyebarkan sentimen propaganda politik kononnya 'PAS mesra UMNO'.

PAS sebelum ini turut mempelawa PPBM untuk bergabung di dalam Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai Parti Ikatan, namun ditolak mentah-mentah oleh kepimpinan parti itu terutama bapa Mukhriz sendiri.

Malah, api memusuhi PAS kian marak apabila PPBM dengan bangga memohon untuk menyertai Pakatan Harapan dan yang terkini, Mahathir tanpa rasa bersalah telah menuduh PAS sebagai punca pepecahan umat Islam serta bangsa Melayu di negara ini.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen PAS yang mewakili Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilihat cenderung menyokong Pakatan Harapan dan sering dilihat bersama Mukhriz di dalam program-program politik anjuran Pakatan Harapan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini turut memutuskan untuk "berpatah arang, berkerat rotan", menolak sebarang kerjasama dengan PAS pada PRU ke-14 nanti biarpun difahamkan PAS tiada sebarang hasrat untuk berbuat demikian. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com