Muhyiddin Kata PAS Bakal "Hanyut Ke Laut China Selatan"?


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seolah menggambarkan PAS sebagai sebuah parti yang akan "hanyut ke Laut China Selatan" pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataannya meskipun tidak menamakan parti berkenaan mendakwa rakyat hanya akan memilih dua pihak saja sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan, tiada parti lain selain itu.

"Sebenarnya pilihan rakyat dua sahaja. Sama ada BN atau Pakatan Harapan. Tak ada yang duduk tengah-tengah.

"Tengah-tengah akan hanyut ke dalam Laut China Selatan," katanya menyindir pedas parti berkenaan yang dipercayai merujuk kepada PAS yang mengepalai sebuah lagi blok parti, Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan.


Muhyiddin dilaporkan sebuah portal pro-pembangkang berkata demikian kepada media ketika menghadiri Konvensyen Parti Amanah Negara (PAN) di Muar, Johor, baru-baru ini.

Mendabik dada menyifatkan orang Melayu yang menyokong partinya sebagai golongan "muhajirin" di zaman Rasulullah SAW yang meninggalkan puak "jahiliyyah" yang merujuk kepada PAS dan UMNO.

"Kita ini (umpama) kumpulan muhajirin kerana menghadapi tentangan puak jahiliah yang nampak cerdik, tapi bodoh," kata Muhyiddin, menghina keseluruhan ahli PAS dan UMNO yang enggan menyokong PPBM serta Pakatan Harapan.

Ironinya, Presiden PPBM itu meskipun "menghina" dua parti yang mewakili penyertaan bangsa Melayu terbesar negara, PAS dan UMNO, beliau tetap mengakui cuba menarik seberapa ramai pengundi Melayu untuk mengundi partinya pada PRU ke-14 nanti.

"Strateginya adalah untuk tingkatkan (sokongan) Melayu dan ini saya kira paling utama.

"(Tetapi) tidak akan mengambil mudah (sokongan) Cina dan India. Tetapi sokongan Melayu agak penting," katanya.

PAS sebelum ini mempelawa PPBM menjalin kerjasama dengan partinya di dalam Gagasan Sejahtera, namun pelawaan tersebut ditolak mentah-mentah kepimpinan PBBM terutama Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran itu, serangan demi serangan dilancarkan Pakatan Harapan terhadap PAS termasuk kenyataan terbaru Mahathir yang menuduh PAS sebagai punca pecah belah umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Gagal memaksa kepimpinan PAS tunduk bekerjsama dengan Pakatan Harapan, anaknya pula, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan cuba "menghasut" ahli PAS supaya memberi undi kepada PPBM pada PRU ke-14 nanti.

Walau bagaimanapun, tuduhan kepimpinan PPBM itu dinafikan kepimpinan PAS, sebaliknya menyatakan bahawa Mahathir merupakan punca sebenar pecah belah umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Selain itu PAS turut menggesa ahli dan penyokongnya supaya terus istiqamah menentang dakyah Pakatan Harapan habis-habisan dan tidak sesekali memberi undi kepada Pakatan Harapan yang dikuasai DAP itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com