Malaysia Menuntut Pengorbanan Rakyat Untuk Terus Berjaya

 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dan menuju kejayaan selagi rakyatnya sanggup berkorban.
Perdana Menteri berkata, berkorban itu meliputi sekecil-kecil pengorbanan di peringkat peribadi hingga menggadai nyawa demi negara tercinta.
Menurutnya, itulah pengertian pengorbanan dan kejayaan yang sebenar.
"Insya-Allah, selagi mana Malaysia terus mempunyai rakyat yang sanggup berkorban daripada sekecil-kecil pengorbanan di peringkat peribadi hinggalah kesanggupan berkorban nyawa demi negara tercinta.
"Saya yakin dan percaya kita akan terus berada di landasan yang tepat menuju impian Malaysia berjaya," katanya dalam blog, NajibRazak.com semalam.
Di samping itu, Najib turut melahirkan rasa kesyukuran kerana Malaysia dapat meraikan tiga kegembiraan berbeza berturut-turut.
Katanya, kegembiraan pertama apabila Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi edisi ke-29 Sukan SEA dengan pencapaian pungutan emas melangkaui sasaran.
"Sejurus selepas kemuncak Sukan SEA, kita menyambut kegembiraan kedua, yakni meraikan detik kemerdekaan ke-60 tahun negara dengan sambutan di Dataran Merdeka yang mengimbau kembali detik bersejarah 1957.
"Seterusnya, kegembiraan ketiga apabila kita menyambut Hari Raya Aidiladha, perayaan yang membawa seribu satu pengertian dan makna buat umat Islam serata dunia," katanya.
 
Sumber - Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com