Majlis Ulama Rohingya Malaysia Rayu Bantuan Negara-Negara Islam


KANGAR  - Majlis Ulama Rohingya Malaysia merayu negara-negara Islam di seluruh dunia membantu masyarakat Rohingya yang tertindas di Myanmar serta yang menjadi pelarian di Bangladesh.

Pengerusinya, Mohd Jaber Mohd Subahan berkata, masyarakat Rohingya terpaksa meyelamatkan diri ke negara lain apabila mereka diserang dan rumah mereka dibakar baru-baru ini.

“Mereka tiada pilihan... melarikan diri atau menghadapi kezaliman tanpa belas kasihan. Kaum wanita dirogol dan dibunuh,” katanya pada forum ‘Darah Rohingya: Dibela atau Diabai’ di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) di sini, malam tadi.

Mohd Jaber antara panel pada forum anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan MTSPJ.

Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat hadir pada forum itu.

Pengerusi Majlis Perunding Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid pula menyifatkan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi seorang wanita yang tidak berperikemanusiaan kerana sanggup membiarkan anak-anak gadis dan kaum ibu masyarakat Rohingya di negara itu dirogol dan dibunuh.

“Pihak-pihak yang mendesak supaya Hadiah Nobel Keamanan yang diberi kepada Suu Kyi ditarik balik hendaklah melakukan desakan lebih keras lagi untuk menunjukkan kesungguhan mereka,” katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com