Luahan Hati Anina Sempena Majlis Ulang Tahun Pertama PPBM


Berikut ialah luahan hati bekas Pengasas PPBM dan bekas Ketua Srikandi PPBM menerusi akaun Facebooknya semalam:

'Parti PPBM ditubuhkan setahun yang lalu, dan hari ini (9 September) adalah ulangtahun penubuhannya yang pertama. Saya adalah salah seorang dari 7 orang pengasas parti dan kini parti ini telah memiliki lebih kurang 90 ribu ahli di seluruh Malaysia.

32 juta rakyat Malaysia, saya adalah satu-satunya marhaen yang menyaman Perdana Menteri Malaysia dalam saman sivil berkaitan isu RM 2.6 billion.

Lebih 3 juta ahli UMNO, saya adalah satu-satunya ahli UMNO yang mengkritik lantang Presiden parti dalam mesyuarat Agung di seluruh Malaysia. 1.5 juta penandatangan Deklarasi Rakyat, saya satu-satunya wanita Melayu yang ke barisan hadapan dan mendesak DS Najib Tun Razak melepaskan jawatan Perdana Menteri. Mungkin atas dasar itu juga mereka memilih saya sebagai satu-satunya wanita untuk membarisi barisan Pro Tem PPBM.

Begitu ramai wanita hebat di seluruh Malaysia, tetapi saya satu-satunya wanita yang dipujuk rayu untuk menjadi Ketua Srikandi PPBM. Begitu cepat dalam tempoh 3 bulan juga saya satu-satunya pemimpin parti yang tidak diperakui angkat sumpah jawatan di hadapan Tun Dr Mahathir Mohammad, TS Muhyiddin Yasin, Mukhriz Mahathir serta lebih 30 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Hanya watikah angkat sumpah saya seorang dari lebih 30 orang itu yang diklasifikasikan sebagai tidak sah oleh pucuk pimpinan parti. Maka di hadapan Setiausaha Agung Parti, Mukhriz Mahathir memaklumkan kepada saya bahawa jawatan saya tidak disyorkan oleh Majlis Presiden. Dalam erti kata lain, saya dipecat. Sudah 9 bulan berlalu namun saya masih setia bersama parti.

Saya difitnah oleh ahli-ahli parti kononnya menerima RM 7 juta dari UMNO dan PPBM gagal membela saya. Jika saya yang berkorban begitu banyak untuk parti juga gagal dibela oleh parti, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin mereka mampu membela 32 juta rakyat Malaysia.

Baru-baru ini saya telah dikeluarkan dari kesemua Whatsapp group kepimpinan tertinggi PPBM dan tiada satu surat rasmi diberikan kepada saya untuk memaklumkan sebab musababnya. Jika parti ini gagal bersikap professional dalam pentadbirannya, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin ianya mampu professional dalam mentadbir sebuah kerajaan.

Hari ini majlis ulangtahun pertama penubuhan PPBM. Baru umur setahun, satu-satunya ibu yang mengasaskan parti ini langsung tidak menerima sebarang jemputan ke majlis yang diadakan di Muar, Johor.

Jika saya dilupakan, beritahu saya bagaimana mungkin saya percaya parti ini akan mengingati begitu ramai insan yang menggerakkan perjuangan ini sejak lebih 2 tahun yang lalu.

Jika dahulu saya diam ramai rakyat yang beranggapan benar Anina diam kerana dia menerima sogokan RM 7 juta dari UMNO. Bagaimana jika hari ini saya meminta saudara dan saudari meletakkan diri anda atau isteri, kakak, adik atau mungkin anak anda di tempat saya. Adakah anda masih mahu Anina Saadudin terus bersuara?

Jangan pertikai kasih sayang saya kepada negara kerana anda sendiri menjadi saksi pengorbanan saya.

Walau dari jauh saya kirimkan ucapan Selamat Ulangtahun Pertama PPBM kepada semua! Berjuanglah bukan untuk mana-mana individu atau untuk parti TETAPI hanya untuk RAKYAT!

Pengorbanan ikhlas tidak perlu dibayar tetapi jangan lupa untuk menghargai pengobanan kecil insan lain walaupun dia bukan dari golongan elitis atau anak bekas Perdana Menteri.'

Anina Saadudin
Ahli PPBM 0000005 -Kedahnews.com









No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com