L’Oreal Pecat Model Transgender Selepas Celupar Di Facebook


PARIS – Syarikat kosmetik terkemuka Perancis, L’Oreal memecat model transgender pertamanya selepas beliau menuduh semua komuniti kulit putih bersifat perkauman di laman sosial Facebook.

Munroe Bergdorf yang berpangkalan di London mengumumkan di akaun Facebook miliknya pada 27 Ogos lalu bahawa beliau bakal bekerjasama dengan L’Oreal untuk kempen terbaru mereka yang mempromosikan ‘kepelbagaian’.

Dalam status yang kemudiannya dipadam Jumaat lalu, Bergdorf dipetik akhbar Daily Mail sebagai berkata: “Sejujurnya, saya tidak mampu lagi untuk bercakap mengenai keganasan perkauman oleh masyarakat kulit putih. Ya, SEMUA masyarakat kulit putih.”


Susulan itu, L’Oreal UK menerusi akaun Twitter mengumumkan penamatan kontrak model berkenaan.

“L’Oreal memperjuangkan kepelbagaian. Komen oleh Munroe Bergdorf bercanggah dengan nilai yang kami terapkan jadi kami memutuskan untuk menamatkan sebarang kerjasama membabitkan beliau,” kata syarikat itu.


Dalam satu komen di laman peribadinya Jumaat lalu, Bergdorf mengkritik artikel Daily Mail itu dan memuat naik kenyataan membela diri dengan berkata, kenyataan terbabit adalah reaksi terhadap jenayah perkauman oleh masyarakat kulit putih di Charlottesville, Amerika Syarikat.

“Apabila saya menyebut ‘masyarakat kulit putih’, saya merujuk kepada fakta bahawa komuniti barat secara keseluruhan, adalah satu sistem yang dibentuk untuk memberi manfaat, keutamaan dan melindungi masyarakat kulit putih sebelum bangsa lain,” katanya. – Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com