Lobak Merah Kaya Beta Karotena


Mata adalah deria yang penting untuk membolehkan kita melakukan pelbagai aktiviti seharian dengan lancar. Jika penjagaan mata tidak diambil perhatian, kemungkinan kehilangan penglihatan kekal akan berlaku yang menjadi masalah kesihatan global membabitkan hampir 161 juta penduduk dunia (Pertubuhan Kesihatan Dunia, WHO 2002).

Masalah penglihatan adalah gangguan disebabkan penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir yang menghalang penglihatan normal pada satu atau kedua-dua belah mata.

Mitos dan stigma masyarakat yang wujud menjadi punca kelewatan pengesanan, pencegahan dan rawatan diberikan kepada pesakit terutamanya kanak-kanak.

1. Mitos: Penggunaan komputer boleh merosakkan mata.

Fakta - Melihat skrin komputer secara berterusan selama berjam-jam akan menyebabkan ketidakselesaan pada mata atau dikenali sebagai sindrom penglihatan komputer (CVS).

CVS akan terjadi pada seseorang yang membuat pergerakan sama setiap masa contohnya kanak-kanak yang bermain permainan video secara mudah alih. Ia juga boleh berlaku pada mereka yang menggunakan komputer dalam aktiviti harian secara berterusan terutamanya jika pencahayaan dan kedudukan komputer tidak sesuai.

Namun masih belum terbukti CVS akan menyebabkan kerosakan kepada mata contohnya katarak. Simptom CVS adalah seperti mata kabur, penglihatan berganda, mata kering dan merah, iritasi, sakit leher, sakit belakang serta sakit kepala. Jika simptom ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan prestasi kerja individu terbabit.

2. Mitos: Membaca dalam keadaan samar akan merosakkan mata.

Fakta - Menurut Pakar Oftalmologi dari Cleveland Clinic Cole Eye Institute, Dr Richard Gans, cahaya samar akan menyebabkan mata kurang berkedip, sukar untuk fokus dan mengakibatkannya menjadi penat serta kering.

Ketidakselesaan ini tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada struktur atau fungsi mata. Bagi menyelesaikan masalah ini, pesakit hanya perlu menggunakan ubat titis sebagai pelembap. Jelasnya, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahawa membaca di dalam cahaya samar akan menyebabkan kerosakan pada mata.

3. Mitos: Menonton televisyen pada jarak dekat akan merosakkan mata.

Fakta - Kenyataan ini tidak benar, sama seperti membaca dalam keadaan samar. Ia tidak akan merosakkan mata sama ada disebabkan terlebih fokus ataupun dari segi radiasi.

Kanak-kanak yang melakukan sedemikian mungkin bagi melihat imej di televisyen dengan lebih jelas dan ini petanda mereka mungkin memerlukan kaca mata.

4. Mitos: Mencabut gigi menyebabkan penglihatan kabur.

Fakta - Pesakit akan diberikan suntikan bius setempat sebelum proses mencabut gigi dilakukan. Kebiasaannya, suntikan pada gusi bawah tidak menyebabkan masalah pada mata.

Penglihatan berganda dan mata kabur adalah kesan sampingan kepada agen bius setempat iaitu lidocaine atau xylocaine. Kesan sampingan ini selalunya bersifat sementara, tetapi jika ia berterusan, pesakit dinasihatkan berjumpa pakar oftalmologi untuk rawatan lanjut.

5. Mitos: Merenung matahari secara langsung boleh merosakkan mata.

Fakta - Ini adalah benar. Melihat matahari secara langsung bukan saja akan menyebabkan sakit kepala dan penglihatan menjadi herot sementara tetapi ia juga boleh mengakibatkan kerosakan mata secara kekal.

Cahaya matahari akan mengakibatkan radiasi ultra lembayung pada mata yang menjadi penyebab kepada penyakit mata seperti degenerasi makular, solar retinitis dan distrofi kornea.

Waktu gerhana matahari adalah tempoh paling berbahaya jika mata merenung matahari kerana pada waktu itu kecerahan cahayanya akan berkurangan tetapi radiasi yang boleh menyebabkan kerosakan mata tidak berubah.

6. Mitos: Makan lobak merah akan memulihkan rabun mata.

Fakta - Lobak merah adalah makanan yang kaya dengan beta karotena iaitu pigmen karotid yang juga dijumpai di dalam oren, sayur-sayuran, keju, susu, kuning telur dan hati.

Karotid adalah pelopor penting bagi vitamin A. Kekurangan vitamin A yang ekstrem akan menyebabkan kebutaan seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang sedang membangun.

Vitamin A boleh membantu dalam mengatasi masalah katarak dan degenerasi makular, tetapi jika masalah penglihatan tidak berkait dengan kekurangan vitamin itu, ia tidak akan berubah walau sebanyak mana pun memakan lobak merah.

7. Mitos: Kanak-kanak tidak perlu menjalani pemeriksaan mata sehingga memasuki alam persekolahan.

Fakta - Pemeriksaan mata seawal usia tiga hingga tujuh tahun perlu untuk mengelakkan terjadinya masalah mata malas atau ambliopia. Perkembangan mata kanak-kanak yang kritikal adalah pada usia berkenaan.

Jika sebarang keabnormalan dapat dikesan pada peringkat umur ini, pencegahan awal boleh dilakukan. Tanda yang boleh diperhatikan pada kanak-kanak yang mempunyai masalah mata adalah:

- Melihat televisyen atau sesuatu objek pada jarak dekat.

- Kerap berkelip dan menggosok mata.

- Mata berair.

- Sakit kepala.

- Mata mudah menjadi penat.

- Suka menelengkan kepala.

8. Mitos: Katarak boleh disembuhkan dengan ubat.

Fakta - Ini adalah 100 peratus tidak benar. Katarak adalah sebarang kekaburan pada kanta mata yang selalunya dikaitkan dengan proses penuaan.

Rawatan katarak hanyalah melalui pembedahan dan memerlukan penggantian kanta intraokular palsu. Rawatan awal diperlukan untuk mencegah penyakit lain seperti glaukoma.

9. Mitos: Orang yang menghidap rabun jauh ketika muda tidak akan mendapat rabun dekat.

Fakta - Rabun dekat atau dikenali sebagai presbiopia terjadi apabila seseorang mencapai umur 40 tahun apabila otot siliari yang memegang kanta kristalin menjadi kurang kenyal untuk mengubah bentuk kanta berkenaan.

Bagi penghidap rabun jauh, penglihatan pada jarak jauh adalah kabur manakala jelas pada jarak dekat. Apabila penglihatan jarak jauh dibetulkan dengan kaca mata, penglihatan jarak dekat juga akan terjejas manakala pesakit presbiopia akan mengalami kekaburan jarak dekat.

Disebabkan keadaan itu, pesakit akan membuka cermin mata untuk melihat pada jarak dekat. Selalunya, pesakit dinasihatkan untuk membuat kaca mata pembetulan bagi jarak jauh dan dekat atau dikenali sebagai kanta bifokal atau multifokal.

10. Mitos: Kuasa cermin mata dapat dikurangkan atau akan bertambah sekiranya memakai cermin mata setiap hari.

Fakta - Penambahan atau pengurangan kuasa cermin mata bergantung kepada pertumbuhan mata pesakit. Cermin mata hanyalah alat bantuan penglihatan yang dapat membantu si pemakai untuk melihat dengan lebih jelas. Pemanjangan bola mata akan tetap berlaku walaupun memakai cermin mata.

11. Mitos: Juling air atau juling itik tidak perlu mendapat rawatan.

Fakta - Kanak-kanak tidak sepatutnya membesar dengan mata juling. Juling lebih mudah diperbetulkan pada peringkat kanak-kanak. Ini antara kepentingan kanak-kanak mendapat pemeriksaan mata awal iaitu ketika bayi dan seterusnya pada umur dua tahun. Juling air atau juling itik adalah jenis juling yang jarang berlaku dan jika tidak dirawat akan menjadi juling kekal. - Hajahfarhana Tarmudi

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com