Lelaki Gemuk Lebih Menawan?


LELAKI gemuk lebih menawan dan dipercayai. Itu bukan akak cun yang cakap tetapi keluar daripada mulut seorang rakan sekerja. Kata dia, isterinya tidak suka dia menguruskan badan. Biarlah gemuk dan boroi begitu. Lebih gemuk, lebih kacak dan comel.

Tambahnya, lelaki gemuk lebih caring pada keluar­ganya. Yalah mana sibuk-sibuk hendak pergi ke gimnasium lepas habis bekerja atau sibuk menjaga penampilan. Maka, masa terluang pasti akan diisi bersama keluarga dan ­bolehlah selalu mereka bersiar-siar dan makan di luar.

Kalau sibuk jaga penampilan, dah jadi macam perempuan pula atau lelaki metroseksual yang kulitnya lebih licin daripada kulit akak cun. Nanti atas meja solek, barang mekap suami lebih banyak daripada barang mekap isteri, katanya.

Mendengar itu semua, akak cun hanya mampu tertawa sambil menutup mulut - orang perempuan bila ketawa kena tutup mulut. Kesopanan perlu dijaga.

Akak cun sebenarnya bukan setakat mahu ketawa saja. Ringan betul mulut ini hendak berkata-kata. Tetapi bila bersuara nanti dituduh menghina pula. Orang kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tidak boleh ditarik-tarik lagi. Jadi lebih baik akak cun duduk diam, walaupun setiap kali melihat rakan sekerja akak cun itu, dalam kepala macam tergambar pula seguni beras.

Rakan akak cun itu berkata begitu bila ditanya kenapa tidak ikut serta program The Biggest Loser yang diadakan di pejabat kami ketika ini. Sebab, pada pandangan akak cun, dia sepatutnya masuk. Masuk bukan sebab mengharapkan dia menang hadiah wang tunai dan kemudiannya belanja akak cun makan, tetapi masuk kerana dia sepatutnya berusaha untuk menguruskan badan. Rimas juga mata, bila dia lalu lalang di depan akak cun.

Akak cun pula kenapa tak masuk? Itu tak payah ulaslah. Nanti cakap lebih-lebih, kata akak cun riak pula. Lagipun bila terpaksa berdiet dan lepas itu lapar, akak cun yang memang bersopan santun ini boleh bertukar menjadi marah-marah. Oleh itu, untuk menjaga keharmonian orang sekeliling, akak cun kena makanlah.

Bercakap pasal gemuk dan obesiti atau berlebihan berat badan ini, ramai yang mengaitkannya dengan wanita. Wanitalah yang paling banyak obes di negara ini. Betul, yang ramai obes itu wanita, tetapi kebanyakan golongan ini berusaha untuk menurunkan berat badan.

Yang ramai masuk program The Biggest Loser di pejabat akak cun itu pun wanita. Mereka gigih bersenam, mencari ubat untuk kurus, mencuba resipi-resipi sihat dan membaca mengenai tips untuk kurus. Mereka tidak beri alasan yang bukan-bukan untuk tidak menguruskan badan.

Belum lagi akak cun dengar, mereka memberitahu yang suaminya memberikan dia galakan sepenuhnya untuk terus gemuk. Belum lagi juga akak cun dengar, suami mereka cakap lebih banyak lemak, rasa sayang makin mengebu-gebu.

Bila bercakap pasal gemuk, ini bukan isu untuk menghina sesiapa yang gemuk. Orang gemuk jangan marah akak cun pula. Obesiti mesti dibincangkan dengan berlapang dada. Sebab kegemukan bukan sekadar penampilan tetapi yang lebih penting faktor kesihatan. Apa guna gemuk, cukup makan tetapi tak sihat dan begitu juga apa guna kurus ramping, tapi selalu menggigil, tak cukup zat.

Bila sudah sakit siapa yang susah? Satu keluarga akan merasa kesannya. Ketua keluarga pula orang lelaki. Masa akan banyak habis di katil hospital. Dan pada masa sama, syarikat tempat bekerja pun turut terjejas produktiviti­nya. Itu pun kalau pekerja itu rajinlah!

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak 73 peratus daripada pencarum yang menjalani Program Saringan Kesihatannya mempunyai masalah berat badan, kencing manis (sembilan peratus), tekanan darah tinggi (27 peratus) dan kadar kolesterol tinggi (62 peratus). Angka 73 peratus itu boleh diletakkan dalam tahap membimbangkan kerana ia melibatkan sebahagian besar pekerja.

Kalau tidak jaga kesihatan, macam mana hendak be­kerja? Bila selalu ambil cuti sakit, produktiviti menurun. Bukan tidak bersimpati tetapi penyakit-penyakit kronik ini boleh dielak dengan mengawal berat badan.

Malaysia juga muncul sebagai negara yang merekodkan tahap obesiti nombor satu di Asia Tenggara dan memberi kesan kepada penambahan jumlah kes penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Dalam laporan dihasilkan Economist Intelligence Unit (EIU) yang pertama menjalankan analisis terperinci ke atas impak ekonomi obesiti terhadap Asia Tenggara, mendapati bilangan obes di Malaysia adalah lebih ramai berbanding negara lain dalam rantau itu. Hasil kajian mendapati negara kita memiliki kadar obesiti dan ke­gemukan tertinggi iaitu masing-masing 13.3 peratus dan 38.5 peratus.

Akak cun sebenarnya tidak suka bermain dengan statistik. Akak cun menilai dengan apa yang lalu di depan mata. Tetapi kalau yang di depan mata cakap gemuk itu menawan, akak cun reda dan layankan sajalah. Hendak nasihat macam-macam, nanti kata akak cun spesies kuat membebel pula.

Sumber:Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com