Lebih 2 Juta Jemaah Haji Berwukuf Di Arafah


MEKAH - Lebih 2 juta jemaah haji dari 168 negara membanjiri kawasan sekitar Gunung Arafah di tenggara Mekah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda ketika hari wukuf.

Kebanyakan jemaah tiba di Arafah dengan menaiki bas, ada juga yang berjalan kaki dari Mekah sejauh 15 kilometer.

Kesemua jemaah memulakan perjalanan beramai-ramai sejak subuh menuju ke kawasan gunung berbatu dan licin yang turut dikenali sebagai Jabal Rahmah sebelum berehat di kaki gunung itu untuk tidur serta bersolat dalam keadaan cuaca panas dengan suhu mencecah 40°C.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Mansour al-Turki berkata, lebih 100,000 kakitangan keselamatan telah dikerahkan ke pelbagai lokasi di sepanjang laluan untuk mengawal jemaah haji.

Pemain bola sepak Senegal, Demba Ba yang juga bekas pemain kelab Inggeris Chelsea berkata, ibadah haji merupakan amalan penting dalam hidupnya dan tidak dapat menggambarkan rasa terujanya berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

“Saya mengharapkan keama­nan, toleransi dan kasih sayang untuk mencapai perkara yang hebat. Saya amat berharap dapat pulang ke rumah dengan pengampunan Allah SWT kerana itulah perkara utama yang ingin diperoleh setiap umat Islam yang berada di sini,” katanya.

Awfa Nejm, dari sebuah kampung berhampiran Homs, Syria pula berkata, dia tidak melepaskan peluang sepanjang menunaikan ibadah haji untuk berdoa supaya Allah SWT melindungi Syria dan rakyatnya serta mengembalikan keamanan di negara itu.

Kerajaan Arab Saudi dilapor­kan memberi bantuan khas kepada jemaah haji tertua tahun ini, Baiq Mariah berusia 104 tahun untuk menunaikan rukun wajib haji itu.

Selepas matahari terbenam, hari ini, jemaah akan bergerak ke Muzdalifah di mana mereka akan mengumpul batu-batu kecil untuk melontar jamrah esok, yang juga merupakan Hari Raya Aidiladha yang disambut kira-kira 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, acara tahunan simbolik pertukaran kelambu Kaabah atau Kiswah yang merupakan salah satu peristiwa yang paling mendapat perhatian setiap kali musim haji turut dijalankan dengan sempurna awal pagi tadi.

Pertukaran kelambu tersebut dilakukan setahun sekali iaitu pada 9 Zulhijah ketika jemaah haji berwukuf di Arafah yang juga rukun utama bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima itu.

Gabenor Mekah bersama pegawai tertinggi Arab Saudi serta beberapa personaliti dan pegawai serta personaliti agama ternama menghadiri upacara tersebut yang bermula sejurus selepas waktu subuh dan berlangsung selama beberapa jam.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com