Lawatan PM Ke Washington, Antara Realiti Dan Pembohongan Pembangkang



KEJAYAAN lawatan kerja Datuk Seri Najib Razak ke Washington yang menyaksikan berlangsung pertemuan mesra Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sukar untuk diterima pembangkang yang terus membuat tohmahan terhadap kerajaan, demikian menurut penganalisis politik.

Menurut mereka walaupun pertemuan itu meninggalkan kesan yang positif untuk negara namun pembangkang dilihat cuba mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat berhubung lawatan perdana menteri itu.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata strategi seumpama itu sering dilakukan pihak pembangkang khususnya ketika lawatan perdana menteri ke luar negara.

"Mereka menghentam seolah-olah kerajaan menjual negara, ini strategi yang sama mereka lakukan. Contohnya, apabila perdana menteri mengumumkan pelaburan di China, mereka mengatakan negara ini digadai kepada China," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam

Hasil pertemuan dengan Presiden Trump, Najib mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.

Najib berkata KWSP dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion di negara tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menggunakan platform sosial media bagi memburukkan perjumpaan Najib dan Trump itu termasuk kononnya kerajaan menggadai kepentingan negara.

Azmi berkata pengumuman perdana menteri berhubung rancangan peningkatan pelaburan oleh KWSP dan Khazanah di Amerika Syarikat sebenarnya mampu memberi hasil lumayan kepada negara serta rakyat melalui pulangan dividen yang tinggi.

"Antara strategi Khazanah dan KWSP adalah melabur di luar negara dan pelaburan di Amerika Syarikat merupakan satu peluang baik kerana tidak semua syarikat asing boleh melabur secara terbuka di negara itu," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kehadiran perdana menteri di Amerika Syarikat telah menepis pelbagai tanggapan negatif sebelum ini khususnya mengenai isu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan 1MDB.

"Dengan menjejakkan kaki di Amerika Syarikat, beliau (Najib) telah menepis tanggapan bahawa beliau tidak berani ke sana," katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, pembangkang sebelum ini memainkan isu di media sosial kononnya Najib akan ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung isu 1Malaysia Development Bhd.

Bagaimanapun katanya, semua perkara tersebut jelas tidak betul apabila Presiden AS itu menyambut baik Najib dan rombongan dari Malaysia.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, pertemuan empat mata antara Trump dengan Najib telah mendedahkan pembohongan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)Tun Dr. Mahathir Mohamad.tu.

Beliau berkata, Dr. Mahathir sebelum ini mendakwa Perdana Menteri akan ditangkap sekiranya ke AS, malah pesawat pun tidak dibenarkan melalui ruang udara negara itu.

“Isu Jabatan Kehakiman AS (DOJ) juga nampaknya tidak menjadi seperti digembar-gemburkan oleh Dr. Mahathir dan pihak pembangkang selama ini.

“Maka jelaslah, selama ini isu yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir dan pembangkang merupakan pembohongan besar kepada rakyat serta fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Lawatan itu juga menepis segala tohmahan dan dakwaan pembangkang bahawa nama Malayisa semakin buruk di luar negara semasa berada di bawah pimpinan Najib. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com