Langkawi Bakal Jadi Pusat Perikanan Terbesar Rantau Asia Tenggara - Suraya


ALOR SETAR - Pulau Langkawi dijangka bakal menjadi pusat perikanan terbesar di rantau Asia Tenggara menerusi projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar yang akan dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat penternakan ikan dalam sangkar terbesar di pulau itu, Fishance Berhad.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerjasama antara syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang perladangan ikan itu dilihat dapat membantu merealisasikan projek tersebut.

"Kita ingin jadikan Langkawi sebagai pusat perikanan terbesar di Asia Tenggara. Sebanyak 3,000 sangkar ternakan akan disediakan di Pulau Langgun di sini bagi menternak ikan seperti siakap dan kakap, sekali gus dapat menjamin jaminan makanan di negeri dan negara ini.

"Sebanyak 25 peratus bekalan ikan ini akan dijual di pasaran Malaysia manakala 75 peratus lagi dieksport ke luar negara," katanya Suraya, memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada wakil media sejurus selepas majlis penyerahan Fi Komitmen dan bayaran royalti daripada Fishance Berhad kepada Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Menurut Suraya, projek melibatkan syarikat dari Singapura dengan Kerajaan Negeri Kedah itu melibatkan pelaburan awal bernilai kira-kira US$12 juta (RM51 juta) dan mensasarkan penternakan ikan sebanyak berjumlah melebihi 100,000 tan setahun.

Selain itu, projek berkenaan turut dijangka bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini, khususnya penduduk di pulau lagenda berkenaan.

Walau bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri itu menegaskan bahawa pihaknya menetapkan projek sektor pemakanan tersebut perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan sektor pelancongan di Langkawi.

Malah beliau berharap agar projek berkenaan pada masa yang sama dapat membantu menaikkan lagi industri pelancongan dan makanan, termasuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk setempat.

"Langkawi akan terus menjadi pusat pelancongan kerana kita ingin seimbangkan sektor industri dengan pelancongan supaya keunikan pulau terbabit tidak terjejas.

"Kita tidak mahu sektor pelancongan terjejas dengan perkembangan industri makanan dan ternakan" ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Fisherance Berhad, Alexey Dorin berkata, syarikat itu akan menggunakan kepakaran pengetahuan dan teknologi moden yang canggih untuk menjayakan projek tersebut.

Jelas beliau, pihaknya amat komited untuk membantu dan memastikan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai hab perikanan terbesar di Asia Tenggara tercapai tidak lama lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com