Laksa Telur Goreng Bersarang Di Kafe Setinggan Ipoh Terbaik!


NAMA kedai makan, Kafe Setinggan, manakala hidangan istimewa di situ ialah laksa telur goreng bersarang.

Kedua-dua nama itu sangat unik, sekali gus mampu menarik perhatian orang ramai bertandang ke Ipoh, semata-mata kerana semangkuk laksa sarang yang sangat enak!

Dalam kalangan pelanggan tetap, mereka lebih senang menamakan laksa telur goreng bersarang sebagai laksa sarang saja gara-gara rasanya yang 'terlajak lazat'!

Mungkin ramai beranggapan laksa berkenaan ada kena-mengena dengan sarang burung, sebaliknya ia hanyalah laksa biasa yang sering kita nikmati bersama telur rebus.

Pemilik Kafe Setinggan, Azril Bidin, 35, berkata, beliau yang dibantu isterinya, Nurazwani Mohd Ridzuan, 32, menggantikan telur rebus kepada telur dadar, sekali gus menjadikannya kembang, seolah-olah seperti sarang.

"Bagi saya, paling penting ialah rasa kuah laksa itu sendiri. Saya belajar cara buat kuah laksa daripada ibu. Selepas beberapa percubaan, barulah saya mendapat sukatan ramuan sebenar, sekali gus menemui resipi istimewa.

"Kebanyakan pelanggan yang berkunjung kali pertama, pasti bertandang ke Kafe Setinggan berulang-kali bersama kawan-kawan yang lain gara-gara laksa kami," katanya lagi.

Kedai terletak di hujung jalan

Mengenai nama Kafe Setinggan, Azril berkata, ia disebabkan mahu menampilkan suasana dalam kafe seolah-olah berada di kawasan rumah setinggan.

"Kedai kami yang terletak di hujung jalan dan agak ke belakang, seperti tersorok. Jadi, timbul idea menamakan kedai ini Kafe Setinggan apabila suasananya seperti rumah setinggan.

"Walaupun kecil dan sempit, tapi penuh dengan pelanggan. Sama halnya seperti rumah setinggan, rumahnya kecil, tapi meriah dengan saudara-mara!

"Buat masa ini kami tiada cawangan di negeri lain termasuk Kuala Lumpur, kecuali satu saja di pusat bandar Ipoh.

"Jika ada pengusaha lain buat laksa sarang, ia bukanlah laksa asli daripada kami," katanya.

INFO

Lokasi: No 1, Jalan Margosa, D/8 Seri Margosa, Taman Seri Botani, Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak

Telefon: 012 456 7257 (untuk tempahan - WhatsApp)

Laman sesawang: http://laksabersarang.blogspot.com

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Jumaat (12 tengah hari hingga 7 malam)

Mewarisi bakat membuat laksa, terutama penyediaan kuah daripada ibu, Nurain Mat Isa, 62, yang masih mengusahakan perniagaan laksa hingga hari ini di kediamannya.

Kuah laksa dihasilkan menggunakan ikan temenung belaling yang segar, dibeli terus daripada peraih digunakan ketika proses penyediaannya.

Telur ayam dibeli terus dari ladang (tidak boleh disimpan terlalu lama di kedai), mampu menjamin keenakan telur goreng atau dadar.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com