Kurdistan Bakal Berdepan Kebuluran Jika Merdeka


ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran bahawa wilayah Kurdistan di Iraq bakal berdepan dengan kebuluran jika meneruskan referendum kemerdekaan yang dianggap memberi ancaman kepada negara ini.

Beliau menyifatkan pemimpin Kerajaan Wilayah Kur­dis­tan (KRG), Masoud Barzani sebagai pengkhianat ekoran mela­kukan referendum ke­­merdekaan biarpun mendapat tentangan daripada pihak antarabangsa.

“Masoud perlu meng­akhiri perjua­ngan me­reka atau wilayah itu bakal ber­depan de­ngan kebuluran apabila semua pintu masuk yang meng­hubungkan Kurdistan de­ngan Turki akan ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi memberi tempoh selama tiga hari kepada KRG untuk melepaskan kawalan di lapangan terbang wilayah itu atau mereka bakal dikenakan sekatan udara.

Haider turut mengarahkan semua pintu sempadan dengan Turki, Syria dan Iran diletakkan di bawah pemantauan Baghdad.

Menerusi siaran televisyen semalam, Masoud menggesa Hai­der supaya tidak menutup ruang untuk mengadakan sesi dialog kerana perkara itu boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun, Haider mene­gaskan bahawa barisan kepe­mimpinan Iraq tidak akan meng­gadaikan perpaduan serta kedaulatan negara itu, selain berkeras tidak mahu membincangkan referendum berkenaan kerana dianggap ti­dak sah.

Keputusan referendum itu setakat ini belum diumumkan namun pemimpin KRG memaklumkan bahawa pengundi memilih untuk kemerdekaan Kurdistan.

Sementara itu, re­fe­rendum berkenaan dikatakan menjejaskan usaha Amerika Syarikat (AS) selama ini untuk memulihkan Iraq daripada kesan peperangan dan pemberontakan kumpulan militan.

Jurucakap Jabatan AS, Hea­ther Nauert berkata, apabila perkara itu berlaku, secara tidak langsung Iraq bakal berdepan dengan kemusnahan.

Rusia pula hari ini menegaskan bahawa Iraq dan Kurdistan diharap dapat mengadakan perbincangan segera bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Luar Rusia menyatakan bahawa tindakan terburu-buru oleh Kurdistan boleh menjejaskan semua negara di Asia Barat. – AGENSI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com