Klinik 1Malaysia Di Kedah Beroperasi Pada Hari Isnin

 
ALOR SETAR - Semua Klinik 1Malaysia di seluruh negeri ini beroperasi seperti biasa pada Isnin ini biarpun cuti khas seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pencapaian Malaysia yang luar biasa pada temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur (KL2017).

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata klinik itu akan beroperasi seperti biasa dari 10 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, beliau berkata Klinik Pakar di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Hospital Kulim turut dibuka seperti biasa untuk pesakit yang telah membuat temujanji pada tarikh itu.

"Sementara itu, perkhidmatan Klinik Pesakit Luar Hospital Jitra juga akan beroperasi seperi biasa bagi mengelak kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah.

"Selain itu, perkhidmatan kecemasan tetap disediakan di klinik kesihatan dan klinik desa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Norhizan berkata tiga klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Klinik Kesihatan Sungai Petani dan Klinik Kesihatan Kulim yang menyediakan perkhidmatan 'Extended Hours' akan beroperasi seperti biasa untuk kepentingan orang ramai.

"Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar dibuka dari pukul 8 pagi sehingga pukul 10 malam manakala di Klinik Kesihatan Sungai Petani dan Klinik Kesihatan Kulim pula akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Penduduk sekitar yang memerlukan rawatan kecemasan ringan diminta mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar untuk mengelakkan kesesakan Hospital Sultanah Bahiyah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sekiranya terdapat kecemasan pergigian pesakit boleh mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan hospital daerah yang berdekatan kerana perkhidmatan kecemasan pergigian atas panggilan (on-call) beroperasi seperti biasa di hospital daerah.

"Perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma semua hospital beroperasi seperti biasa," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com