Khalil Yakin Kemampuan PAS Mengatasi Pakatan Harapan Di Kedah


ALOR SETAR - Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yakin bahawa kekuatan PAS di Kedah mengatasi parti-parti gabungan Pakatan Harapan yang merujuk kepada PAN, PPBM, PKR dan DAP di negeri ini.

Tegas beliau, perkembangan semasa parti-parti berkenaan yang jelas gagal mencapai kata sepakat dan bercelaru sehingga kini selain berada dibawah penguasaan DAP secara tidak langsung membuatkan beliau yakin dengan kemampuan Pemuda PAS Kedah untuk menawan Kedah dari Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.

"Kemampuan Pemuda PAS Kedah tentunya mengatasi Pakatan Harapan yang masih tidak sepakat dan celaru, serta rela ditentu nasib oleh DAP.

"Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU14 adalah berdiri sendiri bersama dengan parti-parti politik dan NGOs dalam wadah sebagai Blok Politik Ketiga bernama ‘Gagasan Sejahtera’.

"Blok ini akan berhadapan Blok Pertama; UMNO dengan BN dan Blok Kedua; DAP serta sekutu Pakatan Harapan," kata beliau dalam satu kenyataan media bersempena Himpunan Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Kedah yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Salim Mahmood dalam kenyataannya pula menggesa supaya seluruh rakyat Kedah berwaspada dengan tipu daya dan strategi DAP yang dikatakan berhasrat mahu melebarkan pengaruhnya di negeri ini.

Kata beliau, "perintah" dari Penasihat DAP, Lim Kit Siang, itu juga jelas menunjukkan bahawa Pakatan Harapan didominasi DAP selain senada dengan Muhammad Khalil yang menyamakan memberi undi kepada parti di dalam PPBM, PAN dan PKR adalah sama dengan memberi undi kepada penguasaan DAP di persada politik di negeri dan negara ini.

"Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan. Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya, serta bukti dominasi DAP ke atas Pakatan Harapan.

"Ia membenarkan sama sekali kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi Pakatan Harapan bererti memberi undi kepada DAP.

"Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan PH dipengaruhi mereka. Rakyat negeri Kedah perlu hindari diri agar tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com