Kerajaan Tidak Lindungi Mana-Mana Pemimpin Salah Guna Kuasa Dalam Felda


KOTA TINGGI - Kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian tidak pernah dan tidak akan bersekongkol dengan mana-mana tokoh atau pemimpin yang terbabit dengan salah guna kuasa atau penyelewengan melibatkan pengurusan Felda.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memastikan sistem perundangan mengambil tindakan bagi memastikan hukuman dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.

Misalnya, tindakan harus diambil terhadap mana-mana individu yang menyebabkan permasalahan dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), kata beliau ketika berucap sempena Program Sekampung yang dianjurkan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) sempena Merdeka Ride 2017 di Masjid Jamek Al-Firdaus Gugusan Felda Lok Heng di sini, semalam

Menyentuh isu FGV sehingga menimbulkan kebimbangan peneroka Felda, beliau berkata tindakan pantas yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipuji memandangkan kepentingan peneroka Felda merupakan satu keutamaan.

"Kita serahkan kepada sistem perundangan yang ada, kita berpegang kepada amanah yang diberikan, mesti diterjemahkan dengan penuh kebertanggungjawaban," kata beliau.

Justeru, beliau meminta agar masyarakat Felda terus yakin kepada kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dan tidak terpengaruh dengan mana-mana fitnah pihak luar.

Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus menyusun semula, memperbaiki program-program berkaitan tanah rancangan sambil memberi keutamaan kepada warga Felda.

Beliau berkata pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda adalah disebabkan kredibiliti tokoh itu sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menambah baik taraf hidup warga Felda.

"Beri kepercayaan kepada kerajaan, insya Allah, kerajaan akan baiki Felda, jangan menolak begitu sahaja," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama kira-kira 800 jemaah di masjid berkenaan, yang juga sebahagian program Merdeka Ride 2017.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad, Presiden SAM Datuk Halim Suleiman serta penduduk kampung.

Program Merdeka Ride 2017 yang bermula pada 4 Sept lepas di Jeli, Kelantan melibatkan penyertaan seramai 600 penunggang superbikers daripada Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Kesemua mereka setakat ini telah menjelajah lebih separuh dari jumlah keseluruhan perjalanan iaitu kira-kira 1,400km, yang mana akan berakhir di Putrajaya pada 10 September ini.

-- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com