Kerajaan Myanmar Sembunyikan Angka Sebenar Korban, Bukan 400 Orang Seperti Dilaporkan Media


KUALA LUMPUR - Angka korban pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang bertempur dengan tentera dan polis Myanmar sejak seminggu lalu dianggarkan melebihi 400 orang, tidak seperti mana dilaporkan oleh media antarabangsa.

Pengetua Sekolah Rohingya Balakong, Mohammed Junaid Zafar Ahmad berkata, berdasarkan sumber daripada rakan dan saudara-mara terdekat yang ma­sih berada di utara Arakan, pe­mantauan di lokasi pertempuran mendapati jumlah sebenar pejuang ARSA yang terkorban berkemungkinan besar mencecah 500 orang atau lebih daripada itu.

Dakwanya, kerajaan Myanmar dilaporkan cuba menyembu­nyi­­kan angka korban sebenar daripada pengetahuan media an­tarabangsa kerana bimbang di­kenakan tindakan tegas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sejak pertempuran berlaku, le­bih 120 buah rumah penduduk etnik Islam Rohingya dibakar oleh tentera Myanmar di Kampung Tharay Kone Tan di selatan Maungdaw.

“Selain itu, sekurang-kurang­nya 18,500 orang penduduk Rohingya dengan majoriti daripada mereka mengalami masalah kesihatan dan ada yang cedera akibat terkena tembakan telah me­larikan diri ke Bangladesh sejak enam hari lalu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini kelmarin.

Mohammed Junaid mendakwa, sejak 25 Ogos lalu, tentera dan polis Myanmar telah membunuh kira-kira 3,000 orang penduduk Rohingya, selain membakar kedia­man mereka dengan sewenang-wenangnya.

Kata beliau, mereka yang di­bunuh tidak mengira jantina sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com