Kedah Digitalkan Manuskrip Melayu


ALOR SETAR- Kerajaan negeri berhasrat menghimpunkan khazanah manuskrip Melayu berkaitan Kedah ke dalam bentuk digital sekali gus membolehkan generasi baharu mudah mendapat maklumat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar, berkata usaha itu juga dapat memastikan manuskrip terbabit terus terpelihara, tersebar dan mudah diakses secara meluas.

Katanya, usaha itu akan membabitkan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara Cawangan Perlis/Kedah dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagi merealisasikan usaha itu, beliau berkata, semua pihak perlu melakukan penyelarasan antara jabatan agar penyelidikan, penerbitan dan wacana dapat mengangkat karya agung manuskrip Melayu Kedah.

"Antaranya Hikayat Merong Mahawangsa, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman, Undang-Undang Kedah dan yang setara sebagai warisan kebangsaan.

"Usaha ini juga mampu memperoleh pengiktirafan dunia, Memory of the World, Pertubuhan Pendidikan Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) hingga mampu mengharumkan nama Kedah dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Bedil: Tradisi dan Kini di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah di sini, semalam.

Aminuddin berkata, pengikirafan terbabit sangat penting untuk menarik lebih ramai penyelidik dan peminat khazanah Melayu melakukan penyelidikan dengan adanya manuskrip digital itu.

Katanya, ia juga mampu menarik golongan muda untuk melakukan penyelidikan selepas manuskrip mudah diakses.

"Menurut sarjana Malaysia, Profesor Ding Choo Ming hanya 30 peratus sahaja daripada sejumlah kira-kira 10,000 manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia dikaji buat masa ini.

"Ketandusan pengkaji muda boleh menjejaskan kelangsungan dan kelompangan pewarisan kepustakaan ilmu Melayu sebagai jati diri bangsa dalam dunia masyarakat pintar 2050," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com