Kebersihan Tandas Di Masjid Perlu Komitmen Masyarakat


IPOH- Tanggungjawab menjaga kebersihan kemudahan awam di masjid dan surau tidak hanya terletak di bahu jawatankuasanya, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh masyarakat Islam.

Mengingatkan demikian anggota Exco Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, "Kalau setiap orang ada nilai-nilai tanggungjawab, amanah, ikhlas dan sebagainya, maka penjagaan tandas daripada sudut kebersihan akan jadi satu amalan."

Katanya, jika masih ada sikap harap-mengharap atau acuh tak acuh antara satu sama lain, maka adalah sukar untuk merealisasi kebersihan sepertimana digariskan dalam Modul Pembersihan Hammam (bilik air).

Mohd Nizar berkata modul tersebut yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Mei tahun lalu membuktikan bahawa kerajaan negeri serius dalam melaksanakan transformasi terhadap penjagaan kebersihan bilik air masjid dan surau.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Hammam 2017 sempena Perak Festival Of Ideas 2017 di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Yusop Husin berkata sebanyak 156 masjid di seluruh negeri ini akan dinilai daripada aspek kebersihan melalui Garis Panduan Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk.

Katanya, keputusan penilaian berbentuk penarafan bintang itu akan diumumkan penghujung tahun ini.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com