Kalau Tak Main Bola, Saya Jadi Pemandu Lori


KETIKA sesi santai soal jawab Berita Harian bersama N Thanabalan pagi semalam, penyerang skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) ini memberikan satu jawapan yang cukup mengejutkan.

Soalannya, apa perkara yang paling menakutkan dalam hidupnya. Jawapannya cukup ringkas tetapi penuh makna. Saya takut pujian.

Penulis menjangkakan Thanabalan mungkin akan memberi jawapan takutkan ketinggian (gayat), ular, memandu laju dan sebagainya.

Jika diteliti jawapan ringkas itu, barulah penulis faham apa yang bermain di minda penyerang pasukan Felcra FC ini.

Dia sebenarnya takut pujian yang diraih ketika ini akan memakan diri, membuatkan dia lalai yang menjurus kepada hilangnya fokus kepada matlamat hidup.

Memang benar, dia dilambung hasil jaringan cantik ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia, Myanmar dan Singapura di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bulan lalu.

Daripada status 'tiada apa-apa', kini dalam sekelip mata Thanabalan menjadi bintang pujaan ramai terutama peminat sukan bola sepak tanah air.

Mungkin dia belajar daripada sejarah - berapa ramai bintang bola sepak dunia yang musnah akibat hidup dalam dunia terlalu glamour.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Dwight Yorke, bekas bintang MANCHESTER UNITEDyang hanyut dan musnah kariernya akibat wanita dan hiburan - semuanya kerana gagal mengawal diri.

Berapa ramai bekas atlet atau pemain bola sepak negara yang menderita selepas bersara gara-gara tidak bijak merancang ketika zaman mewah.

Mungkin atas sebab itulah dia takutkan pujian, kerana jika tersilap langkah, gula manis itulah yang akan menjadi barah.

Bagi penulis, jika Thanabalan sentiasa berpegang kepada prinsip berpijak di bumi nyata, itu sudah cukup untuk memastikan bintang yang sedang meningkat naik ini berada di landasan selamat.

Asalkan dia sentiasa menjadi sempadan diri dan tahu batasan.

Dia akur, populariti yang diraih ketika ini kadang kala membuatkannya sukar bergerak bebas seperti sebelumnya. Itu hakikat yang perlu diterima selepas bergelar selebriti sukan.

Setiap langkah dan apa saja yang dilakukan sentiasa menjadi perhatian dan perbualan. Apatah lagi dia lahir di era maklumat di hujung jari - maklumat tersebar dalam tempoh sesaat.

Apa yang membuatkan penulis bertambah kagum ialah sikapnya yang sentiasa mengutamakan keluarga.

Abang, saya bukan orang senang. Ini (bola sepak) caranya saya mahu bantu keluarga. Itu kata Thanabalan, penuh ikhlas.

Jika saya tidak berjaya dalam bola sepak, mungkin saya akan kerja sebagai pemandu lori atau kerja kilang. Saya tak tahu apa nasib saya, sekolah (pendidikan) pun tak berapa pandai.

Sebab itulah ketika diajukan soalan apa yang akan dilakukan jika meraih wang tunai RM1 juta, Thanabalan memilih untuk membina sebuah rumah yang selesa untuk keluarganya.

Kemudian, jika masih berbaki, ia akan digunakan untuk memulakan perniagaan.

Bagi penulis, sikap merendah diri ini perlu sentiasa kekal dalam diri mana-mana pemain sekali pun, namun harus diingat jangan dek kerana kerana terlalu menunduk, jangan biarkan kepala dipijak.

Selamat berjuang kepada Thanabalan dan kapten pasukan B-22, Adib Zainuddin yang menggalas tugas berat menjulang Felcra FC.

10 perkara menarik mengenai N Thanabalan

1) Saiz kasut: 8 1/2

2) Kasut bola sepak pertama: Mizuno

3) Makanan kegemaran: Nasi putih dan kari (kedai mamak)

4) Hobi: Melepak bersama rakan dan menonton perlumbaan kereta

5) Jika bukan seorang pemain bola sepak: pemandu lori atau kerja kilang

6) Perkara paling ditakuti: pujian

7) Teman wanita: sudah berpunya, empat tahun berkenalan

8) Filem kegemaran: Ong-Bak dan KL Gangster

9) Artis idola: Zizan Raja Lawak

10) Jika memiliki wang RM1 juta: membina rumah untuk keluarga

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com