Jumpa Mayat Dalam Longkang Selepas Suspek Ditahan


MANJUNG - Penahanan seorang peniaga dipercayai suspek kes bunuh membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan dipukul di kepala di dalam longkang di pantai perkelahan awam Teluk Batik, jam 1 pagi semalam.

Mayat mangsa berusia lewat 20-an ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dipercayai mangsa dipukul.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Haniff Othman, berkata suspek berusia 40-an ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Seri Manjung oleh sepasukan polis jam 12.10 tengah malam kelmarin.

Katanya, berdasarkan maklumat mangsa menghubungi seorang saudaranya pada jam 10.30 pagi semalam memaklumkan mahu ke pantai perkelahan itu untuk bertemu rakan.

"Selepas setengah jam mangsa cuba dihubungi saudaranya namun tidak berjawab sebelum meminta beberapa rakan mencari mangsa di Teluk Batik namun tidak ditemui biarpun kereta mangsa ditemui berhampiran kawasan gerai.

"Saudara mangsa kemudian turut keluar mencarinya pada jam 3 petang dan cuba menghubungi telefon bimbit mangsa sebelum terdengar deringan di kawasan kedai di pantai itu.

"Saudara mangsa turut menemui tompokan merah dipercayai darah dan kasut mangsa di dalam longkang di kawasan berhampiran dan kemudian membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini semalam.

Muhammad Haniff berkata, siasatan polis mendapati ada saksi terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek dan bertindak atas maklumat itu polis menahan suspek di rumahnya serta menemui kayu sepanjang 58 sentimeter ditemui di kawasan semak belakang rumah ibunya yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal suspek mengakui dia memukul mangsa dan membawa mangsa ke kawasan lain sebelum mencampakkan mangsa ke dalam longkang.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita percaya motif kejadian disebabkan mangsa yang mahu mengutip hutang dari suspek sehingga menyebabkan pergaduhan namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com